Tuesday, May 29, 2012

Ciri-ciri syaitan

Terdapat banyak ayat al-Qur’an dan hadis sahih yang menerangkan ciri-ciri syaitan. Semua ini didedahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk kebaikan kita kerana dengan pengetahuan akan ciri-ciri syaitan, kita akan dapat mengetahui apa sifat mereka, sekadar mana kemampuan mereka dan bagaimana mereka bertindak.[1]

Sebelum kita mengkaji ciri-ciri tersebut, sekali lagi saya ingin menasihati para pembaca yang budiman sekalian agar:


Tidak berpaling atau membantah ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah yang dikemukakan.

Tidak menilainya dengan akal atau cuba menselarikannya kepada akal dengan alasan “ciri-ciri tersebut ialah kiasan (majaz) semata-mata.”
Tidak bertanya, berfikir dan menokok tambah dari apa yang sedia dijelaskan oleh al-Qur’an dan hadis.

Ciri # 1: Syaitan memiliki kepala.

Ciri ini diterangkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam firman-Nya:
Sesungguhnya Kami jadikan (pokok Zaqqum itu) satu ujian bagi orang-orang yang zalim. Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang, buahnya seolah-olah kepala syaitan-syaitan. [al-Saffat 37:63-65]

Ciri # 2: Syaitan memiliki dua tanduk.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

لاَ تَحَرَّوْا بِصَلاَتِكُمْ طُلُوعَ الشَّمْسِ وَلاَ غُرُوبَهَا فَإِنَّهَا تَطْلُعُ بِقَرْنَيْ شَيْطَانٍ.

Janganlah kalian melaksanakan solat (sunat mutlak) pada waktu terbit matahari (selepas subuh) dan terbenam matahari (selepas asar) kerana pada waktu itu muncul dua tanduk syaitan.[2]

Ciri # 3: Syaitan memiliki hati, mata dan telinga.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam
banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati
(tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah),
dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat
dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi)
tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat).
[al-A’raaf 7:179]

Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, syaitan adalah dari jenis jin. Maka ciri-ciri yang dimiliki oleh jin dimiliki juga oleh syaitan. Dalam ayat 179 surah al-A’raaf di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa jin memiliki hati, mata dan telinga. Maka demikian jugalah bagi syaitan, ia juga memiliki hati, mata dan telinga.


Sebelum ini dalam bab “Asal Usul Permusuhan Syaitan Kepada Manusia”, kita mengetahui bahawa syaitan mendengar perintah Allah untuk sujud kepada manusia, menunjukkan bahawa syaitan memiliki telinga. Kemudian syaitan enggan sujud kerana takbur, dimana dua dari sikap takbur tersebut ialah ujub terhadap diri sendiri dan menghina kepada orang lain. Kedua-dua sikap ini merupakan peranan hati, menunjukkan bahawa syaitan memiliki hati.


Merujuk kepada penglihatan, syaitan dapat melihat manusia manakala manusia tidak dapat melihat syaitan. Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan perbezaan ini:


Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.

[al-A’raaf 7:27]

Ciri # 4: Syaitan memiliki suara.

Syaitan juga memiliki suara dan boleh bercakap-cakap, membantah, menyoal, membisik dan menghasut dengannya. Semua ini dapat kita ketahui melalui dialog iblis dengan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:

“Sujudlah kamu kepada Adam”, maka sujudlah mereka melainkan iblis; ia berkata: “Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?”

Ia berkata lagi: “Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku?

Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga Hari Kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya).”

Allah berfirman (kepada iblis): “Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka Jahannamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.


Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka;

dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu).” Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata. [al-A’raaf 17:61-64]

Syaitan menggunakan suaranya untuk mengganggu manusia dengan pelbagai cara. Antaranya, bercakap kepada manusia melalui perantaraan batu, pokok, mata air dan haiwan. Umpama seseorang yang masuk ke hutan, tiba-tiba sebuah batu bercakap-cakap kepadanya: “Wahai Azlina! Kamu seorang wanita yang shalihah. Amalan kamu selama ini telah mencukupi. Kini memadai untuk kamu berzikir sahaja, tanpa perlu solat, puasa zakat dan haji.” Percakapan tersebut sebenarnya berasal dari syaitan.


Oleh kerana suara-suara syaitan inilah sebahagian masyarakat menganggap wujudnya “penunggu” atau “penjaga” di kawasan hutan, air terjun, padang pasir dan sebagainya. Kemudian ada pula yang memberi petua, apabila memasuki hutan ucapkanlah selawat kepada nabi sekian-sekian kerana dia adalah penjaganya. Apabila menghampiri kawasan air terjun ucapkanlah selawat kepada wali sekian-sekian kerana dia adalah penjaganya. Semua ini hanyalah tipu daya syaitan untuk menyesatkan umat Islam.


Ciri # 5: Syaitan memiliki akal.

Berdasarkan bantahan syaitan kepada Allah, dapat kita mengetahui bahawa syaitan memiliki akal. Ini kerana ia telah menggunakan logik akal untuk membantah perintah Allah, seperti kata-katanya:

· “Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah?”

· “Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku?”

Akal adalah sesuatu yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala agar dengan akal tersebut makhluk dapat mentaati dan melaksanakan perintah larangan-Nya dengan cara yang tepat dan betul. Sebaliknya jika akal digunakan untuk mengukur logik atau tidak sesuatu perintah larangan Allah, maka ia adalah suatu penyimpangan yang mengkhianati kurniaan akal itu sendiri.


Ciri # 6: Syaitan ketawa.

Syaitan boleh ketawa. Ini dapat kita ketahui dari hadis berikut:

التَّثَاؤُبُ مِنْ الشَّيْطَانِ فَإِذَا تَثَاءَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَرُدَّهُ مَا اسْتَطَاعَ

فَإِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَالَ هَا ضَحِكَ الشَّيْطَان.ُ
Menguap adalah dari syaitan. Maka apabila seseorang kalian menguap, tahanlah sedaya mungkin kerana sesungguhnya apabila seseorang kalian menguap sambil berbunyi “Haaa” maka ketawalah syaitan.[3]

Jika tidak dapat menahan diri dari menguap, maka tutuplah mulut yang sedang menguap dengan tangan dan jangan mengeluarkan apa-apa bunyi. Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar kita:


إِذَا تَثَاوَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيُمْسِكْ بِيَدِهِ عَلَى فِيهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَدْخُلُ.

Jika seseorang kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).[4]

Ada pun bersin, maka ia disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan perbezaan antara menguap dan bersin:


إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعُطَاسَ وَيَكْرَهُ التَّثَاؤُبَ فَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ

فَحَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ سَمِعَهُ أَنْ يُشَمِّتَهُ وَأَمَّا التَّثَاؤُبُ
فَإِنَّمَا هُوَ مِنْ الشَّيْطَانِ فَلْيَرُدَّهُ مَا اسْتَطَاعَ فَإِذَا قَالَ هَا ضَحِكَ مِنْهُ الشَّيْطَانُ.

Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan membenci menguap. Maka apabila (seseorang itu) bersin maka pujilah Allah dan merupakan hak bagi setiap muslim yang mendengar (saudaranya bersin) untuk mendoakannya. Ada pun menguap, maka ia tidak lain berasal dari syaitan. Tahanlah ia semampu mungkin dan apabila (yang menguap) berbunyi “Haaa” maka ketawalah syaitan.[5]


Oleh itu Bagi orang yang bersin, hendaklah dia memuji Allah dengan menyebut:


الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.

“Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.”

Bagi yang mendengar orang bersin, dia berdoa:


يَرْحَمُكَ اللهُ.

“Semoga Allah merahmati kamu”.

Kemudian bagi yang bersin, dia menjawab kepada orang yang mendoakannya:


يَغْفِرُ اللهُ لَنَا وَلَكُمْ.

“Semoga Allah mengampuni bagi kami dan bagi kalian.”[6]

Sekali pun bersin adalah sesuatu yang disukai, tidaklah bererti seseorang itu boleh bersin di hadapan muka orang lain, menghamburkan air liurnya atau bersin dengan suara yang kuat. Abu Hurairah radhiallahu ‘anh menerangkan:


كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا عَطَسَ وَضَعَ يَدَهُ

أَوْ ثَوْبَهُ عَلَى فِيهِ وَخَفَضَ أَوْ غَضَّ بِهَا صَوْتَهُ.

Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersin, baginda meletakkan tangannya atau bajunya

ke atas mukanya (mulut dan hidung) sambil merendahkan (atau sambil menundukkan muka dan) suaranya.[7]

Ciri # 7: Syaitan memiliki tangan dan jari.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ

فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ.
Apabila seseorang kalian makan, maka makanlah dengan tangan kanannya dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya
dan minum dengan tangan kirinya.[8]

Oleh kerana itu kita umat Islam sangat-sangat ditekan untuk makan dan minum dengan tangan kanannya. Penekanan ini turut merangkumi apa jua perkakas yang digunakan seperti sudu, garpu, chopsticks dan lain-lain, hendaklah semuanya dipegang dengan tangan kanan.


Pernah dahulu seseorang yang duduk bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam makan dengan tangan kirinya. Rasulullah menegur: “Makanlah dengan tangan kanan kamu.” Orang itu menjawab: “Aku tidak mampu.” Rasulullah menjawab: “Kamu tidak mampu?” Padahal dia enggan tidak lain kerana kesombongan. Perawi hadis, Salama bin al-Akwa’ radhiallahu 'anhu kemudian menerangkan bahawa setelah itu lelaki tersebut tidak dapat mengangkat tangan kanannya ke mulutnya.[9] Tangan kanannya menjadi lumpuh sejak dia membantah teguran Rasulullah.


Syaitan juga memiliki jari berdasarkan keterangan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:


كُلُّ بَنِي آدَمَ يَطْعُنُ الشَّيْطَانُ فِي جَنْبَيْهِ بِإِصْبَعِهِ حِينَ يُولَدُ

غَيْرَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَهَبَ يَطْعُنُ فَطَعَنَ فِي الْحِجَابِ.
Setiap anak Adam (manusia) ketika lahir ditusuk di kedua tepi badannya oleh syaitan dengan jarinya kecuali ‘Isa ibni Maryam, syaitan hendak menusuknya tetapi hanya berjaya menusuk uri (ibunya).[10]

Ciri # 8: Syaitan makan dan minum.

Berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: “…sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya”, kita juga dapat mengetahui syaitan makan dan minum.

Syaitan makan apa-apa yang dibiarkan oleh kita, sama ada yang masih tersisa di pinggan atau apa yang terjatuh darinya. Oleh kerana itulah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh kita menghabiskan semua makanan dan mengutip apa yang terjatuh darinya. Tindakan ini bukan sahaja mengelak makanan tersebut daripada diambil oleh syaitan tetapi untuk kita memperoleh keberkatan yang sepenuhnya dari makanan tersebut. Anas bin Malik radhiallahu 'anh berkata:


أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَكَلَ طَعَامًا لَعِقَ أَصَابِعَهُ الثَّلاًثَ.

قَالَ وَقَالَ: إِذَا سَقَطَتْ لُقْمَةُ أَحَدِكُمْ فَلْيُمِطْ عَنْهَا الأَذَى وَلْيَأْكُلْهَا وَلاَ يَدَعْهَا لِلشَّيْطَانِ.
وَأَمَرَنَا أَنْ نَسْلُتَ الْقَصْعَةَ. قَالَ: فَإِنَّكُمْ لاَ تَدْرُونَ فِي أَيِّ طَعَامِكُمْ الْبَرَكَةُ.
Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam makan, baginda menjilat jari-jarinya tiga kali.

Anas berkata, bahawa Rasulullah bersabda: “Jika sesuatu makanan seseorang kalian jatuh,

hendaklah (dia mengambilnya) dan membersihkan apa-apa kotoran yang melekat padanya lalu memakannya. Janganlah meninggalkannya untuk syaitan.”

Anas melanjutkan: “(Rasulullah) juga menyuruh kami untuk menghabiskan apa-apa sisa makanan.”

Baginda berpesan: “Ini kerana kalian tidak tahu di bahagian manakah pada makanan kalian terdapat keberkatan.”[11]

Untuk mengelakkan apa-apa makanan dari tersisa, hendaklah kita sejak dari awal menyukat jumlah makanan yang diletakkan ke dalam pinggan. Ambil sekadar yang perlu tanpa berlebih-lebihan. Syaitan akan menghasut kita untuk mengambil secara berlebihan kerana berlebihan adalah salah satu bentuk pembaziran dan hubungan antara orang yang membazir dengan syaitan adalah:


Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan. [al-Isra’ 17:27]


Selain itu syaitan minum sambil berdiri.


Pada satu ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat seorang yang minum sambil berdiri. Baginda menegur: “Jangan begitu!” Orang itu bertanya: “Mengapa?” Rasulullah menjawab: “Adakah kamu suka minum bersama kucing?” Orang ituu menjawab: “Tidak.” Rasulullah meneruskan:


فَإِنَّهُ قَدْ شَرِبَ مَعَكَ مَنْ هُوَ شَرٌّ مِنْهُ: الشَّيْطَانُ.

Sesungguhnya telah ikut serta minum bersama kamu sesuatu yang lebih buruk darinya, iaitu syaitan.[12]

Oleh itu hendaklah kita sedaya upaya mengelakkan diri minum sambil berdiri. Jika suasana tidak mengizinkan, boleh minum sambil berdiri. Ini kerana dalam suasana terpencil lagi terdesak, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah minum sambil berdiri. ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma berkata:


سَقَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ زَمْزَمَ فَشَرِبَ وَهُوَ قَائِمٌ.

Aku menghidang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam air zam-zam dan baginda meminumnya sambil berdiri.[13]

Ciri # 9: Syaitan membuang air kecil.

Syaitan juga membuang air kecil, khasnya kepada orang yang tidur lena sepanjang malam sehingga matahari naik. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah ditanya berkenaan orang yang tidur sepanjang malam hingga pagi hari. Baginda menjawab:

ذَاكَ رَجُلٌ بَالَ الشَّيْطَانُ فِي أُذُنَيْهِ (أَوْ قَالَ) فِي أُذُنِهِ.

Itu adalah orang yang syaitan kencing dalam kedua-dua telinganya atau salah satu telinganya.[14]

Ciri # 10: Syaitan memiliki keturunan.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya
sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripada-Ku?
[al-Kahfi 18:50]

Ciri # 11: Syaitan memiliki pasukan tenteranya.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِذَا أَصْبَحَ إِبْلِيسُ بَثَّ جُنُودَهَ فَيَقُول: مَنْ أَضَلَّ مُسْلِمًا أَلْبَسْتُهُ التَّاجَ.

Pada waktu pagi, iblis mengutus pasukan tenteranya seraya berkata: “Sesiapa yang berjaya menyesatkan seorang muslim maka aku akan memakaikan mahkota kepadanya.”[15]

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:


Dan bertahap-tahaplah dalam memujuk sesiapa yang engkau dapat dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki… [al-Isra’ 17:64]


Dengan pasukan tentera serta para penyokongnya, syaitan berusaha untuk membuat fitnah kepada manusia. Lebih hebat fitnah yang dilakukan, lebih besar pangkat dan anugerah yang dihadiahkan kepada tentera yang berjaya melakukannya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjelaskan strategi ketenteraan ini:


إِنَّ إِبْلِيسَ يَضَعُ عَرْشَهُ عَلَى الْمَاءِ ثُمَّ يَبْعَثُ سَرَايَاهُ فَأَدْنَاهُمْ مِنْهُ مَنْزِلَةً أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً.

يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ: فَعَلْتُ كَذَا وَكَذَا! فَيَقُولُ: مَا صَنَعْتَ شَيْئًا. قَالَ ثُمَّ يَجِيءُ أَحَدُهُمْ
فَيَقُولُ: مَا تَرَكْتُهُ حَتَّى فَرَّقْتُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ امْرَأَتِهِ. قَالَ: فَيُدْنِيهِ مِنْهُ وَيَقُولُ: نِعْمَ أَنْتَ!.

Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air. Kemudian dia mengutuskan para tenteranya (untuk memfitnah manusia). Di antara para tentera itu, mereka yang memiliki kedudukan yang paling hampir dengannya ialah yang paling hebat dalam membuat fitnah.


Salah seorang dari tentera itu datang dan berkata: “Saya telah melakukan sekian-sekian!”

Iblis menjawab: “Kamu belum melakukan apa-apa.” Kemudian datang seorang tentera yang lain dan berkata: “Tidaklah saya meninggalkan (orang yang saya ganggu) sehinggalah dia menceraikan isterinya.”
Iblis menghampiri tentera itu dan berkata: “Anda hebat!”[16]

Di antara pasukan tentera syaitan ialah manusia, iaitu mereka yang telah berjaya dipengaruhinya untuk memusuhi Islam dan umatnya. Satu contoh ialah orang-orang musyrik dalam Perang Uhud yang Allah Subhanahu wa Ta'ala sebut sebagai penolong (al-Auliya’) syaitan:


Sesungguhnya yang demikian itu ialah syaitan yang menakut-nakutkan (kamu terhadap)

penolong-penolongnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka,
tetapi takutlah kepada-Ku, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
[‘Ali Imran 3:175]

Ciri # 12: Syaitan mencari tempat bermalam.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ وَعِنْدَ طَعَامِهِ

قَالَ الشَّيْطَانُ: لاَ مَبِيتَ لَكُمْ وَلاَ عَشَاءَ.
وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يَذْكُرْ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ
قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمْ الْمَبِيتَ.
وَإِذَا لَمْ يَذْكُرْ اللَّهَ عِنْدَ طَعَامِهِ
قَالَ: أَدْرَكْتُمْ الْمَبِيتَ وَالْعَشَاءَ.

Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, berkatalah syaitan (kepada golongannya): “Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga makanan malam.”

Sebaliknya apabila seorang itu memasuki rumah dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya,
berkatalah syaitan (kepada golongannya): “Kalian telah mendapat tempat bermalam.”
Apabila seorang tidak mengingati Allah ketika makan, berkatalah (syaitan kepada golongannya):
“Kalian telah mendapat tempat bermalam dan makan malam.”[17]

Demikian juga apabila kita hendak keluar rumah, maka kuncilah pintu sambil menyebut nama Allah. Nescaya syaitan tidak akan dapat membukanya. Tutuplah juga bekas-bekas makan dan minum, nescaya syaitan tidak dapat membukanya dan mencemarinya. Padamkan juga lampu agar dengan itu syaitan tidak dapat menyebabkan berlakunya kebakaran. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا وَأَوْكُوا قِرَبَكُمْ

وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ وَخَمِّرُوا آنِيَتَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ
وَلَوْ أَنْ تَعْرُضُوا عَلَيْهَا شَيْئًا وَأَطْفِئُوا مَصَابِيحَكُمْ.

Dan kuncilah pintu-pintu kalian dan sebutlah nama Allah (dengan membaca Bismillah) kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu-pintu yang dikunci (dengan menyebut nama Allah). Ikatlah kantong-kantong air kalian dan sebutlah nama Allah, tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah,

walau pun (tutupan) itu sekadar meletakkan sesuatu di atasnya dan matikanlah lampu-lampu pelita kalian.[18]

Jika syaitan berjaya memasuki rumah untuk bermalam, syaitan akan bermalam dalam hidung para penghuni rumah tersebut. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


إِذَا اسْتَيْقَظَ (أُرَاهُ أَحَدُكُمْ) مِنْ مَنَامِهِ فَتَوَضَّأَ

فَلْيَسْتَنْثِرْ ثَلاَثًا فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَبِيتُ عَلَى خَيْشُومِهِ.
Apabila seseorang kalian bangun dari tidurnya dan berwudhu’, maka (sedutlah air ke dalam hidungnya dan)
hembuslah air itu keluar sebanyak tiga kali kerana sesungguhnya syaitan bermalam di lubang hidung kalian.[19]

Ciri # 13: Syaitan dapat bergerak pantas.

Makhluk jin dapat bergerak pantas, sekali pun dengan membawa beban yang amat besar lagi berat. Ini dapat kita ketahui dari sejarah Nabi Sulaiman ‘alaihi salam:

Nabi Sulaiman berkata pula: “Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya (Puteri Balqis dari Yaman ke Baitul Maqdis) sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?” Berkatalah Ifrit dari golongan jin:

“Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah.”
[al-Naml 27:38-39]

Syaitan adalah dari jenis jin dan dengan itu kita mengetahui bahawa ia juga dapat bergerak pantas. Antara ketika ia bergerak pantas adalah apabila azan dilaungkan:


إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا نُودِيَ بِالصَّلاَةِ وَلَّى وَلَهُ حُصَاصٌ.

Sesungguhnya syaitan apabila dikumandangkan azan, ia akan berpaling dan lari dengan pantas.[20]

Ciri # 14: Syaitan dapat bergerak dalam badan manusia.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنْ ابْنِ آدَمَ مَجْرَى الدَّمِ.

Sesungguhnya syaitan bergerak dalam badan anak Adam (manusia) seperti aliran darah.[21]

Ciri # 15: Syaitan dapat mempengaruhi manusia.

Tetap merujuk kepada hadis di atas berkenaan pergerakan syaitan dalam badan manusia, ia secara lebih terperinci berlaku ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sedang beriktikaf di masjid dan isterinya Shafiyyah radhiallahu 'anha datang menziarahi baginda. Kemudian apabila Shafiyyah ingin pulang, Rasulullah mengiringinya hingga ke pintu masjid. Pada saat itu, dua orang sahabat dari kalangan Ansar radhiallahu 'anhuma berlalu dan nampak Rasulullah bersama seorang wanita. Mereka berdua tidak tahu siapakah wanita tersebut kerana para isteri Rasulullah memakai tudung yang juga menutupi muka.

Untuk mengelakkan salah faham, Rasulullah memanggil dua lelaki tersebut dan menerangkan bahawa wanita yang bersamanya ialah Shafiyyah, isteri baginda. Kedua-dua lelaki itu menjawab: “Subhanallah!”, seolah-olah bermaksud: “Maha Suci Allah, tidaklah kami sekali-kali akan berburuk sangka kepadamu wahai Rasulullah!” Kemudian Rasulullah membalas:


إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنْ الإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ وَإِنِّي خَشِيتُ

أَنْ يَقْذِفَ فِي قُلُوبِكُمَا شَرًّا (أَوْ قَالَ) شَيْئًا.
“Sesungguhnya syaitan bergerak dalam badan manusia seperti aliran darah. Sesungguhnya aku bimbang ia melemparkan keburukan atau sesuatu sangkaan dalam hati kalian berdua.[22]

Rasulullah membalas dengan menerangkan ciri-ciri syaitan yang mampu bergerak dalam badan manusia dan mempengaruhi hati manusia untuk berburuk sangka. Kedua-dua sahabat tersebut pada awalnya tidak berprasangka apa-apa terhadap Rasulullah. Akan tetapi mungkin sahaja syaitan menyelinap masuk dalam tubuh mereka beberapa saat kemudian sambil membisikkan sesuatu yang buruk, konon Rasulullah berdua-duaan dengan wanita yang tidak halal bagi baginda. Maka sebelum syaitan dapat memasuki dan mempengaruhi dengan sesuatu yang buruk, Rasulullah menerangkan bahawa wanita tersebut ialah Shafiyyah, isteri baginda sendiri.[23]


Berdasarkan hadis ini dapat diketahui ciri-ciri syaitan yang mampu mempengaruhi manusia dengan sesuatu yang menyelisihi tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah. Ia tidak terhad kepada berburuk sangka tetapi meliputi sikap-sikap lain seperti:


a.Syaitan mempengaruhi pemikiran manusia:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

يَأْتِي الشَّيْطَانُ أَحَدَكُمْ فَيَقُولُ مَنْ خَلَقَ كَذَا؟ مَنْ خَلَقَ كَذَا؟

حَتَّى يَقُولَ مَنْ خَلَقَ رَبَّكَ؟ فَإِذَا بَلَغَهُ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ.
Syaitan mendatangi seseorang kalian dan bertanya: “Siapakah yang mencipta itu? Siapakah yang mencipta ini?” sehinggalah ia bertanya: “Siapakah yang mencipta tuhan kamu?” Maka jika ia bertanya soalan itu,
mintalah perlindungan dari Allah dan sudahilah (dari melayani fikiran atau pertanyaan sedemikian).[24]

b. Syaitan berbisik kepada manusia:

Syaitan mampu berbisik kepada manusia sebagaimana ia mampu berbisik kepada Adam:

Setelah itu maka syaitan membisikkan kepadanya dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”

[Ta-Ha 20:120]

Bisikan syaitan lazimnya ke arah sesuatu yang bertentangan dengan Islam. Atau sesuatu yang kelihatan seolah-olah selari dengan Islam padahal sebenarnya bertentangan. Bagi setiap manusia ada di sisinya malaikat dan syaitan, masing-masing membisikkan sesuatu. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjelaskan hakikat ini:


إِنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ وَلِلْمَلَكِ لَمَّةً

فَأَمَّا لَمَّةُ الشَّيْطَانِ فَإِيعَادٌ بِالشَّرِّ وَتَكْذِيبٌ بِالْحَقِّ
وَأَمَّا لَمَّةُ الْمَلَكِ فَإِيعَادٌ بِالْخَيْرِ وَتَصْدِيقٌ بِالْحَقِّ
فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَعْلَمْ أَنَّهُ مِنْ اللَّهِ فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ
وَمَنْ وَجَدَ الأُخْرَى فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

Sesungguhnya bagi setiap anak Adam (yakni manusia) ada sentuhan (bisikan) syaitan dan sentuhan (bisikan) malaikat. Ada pun sentuhan syaitan, ia mengajak kepada keburukan dan mendustakan kebenaran. Manakala sentuhan malaikat, ia mengajak kepada kebaikan dan menegakkan kebenaran.


Maka sesiapa yang merasai sentuhan (bisikan) kebaikan, ketahuilah bahawa ia adalah dari Allah (melalui perantaraan malaikat) dan hendaklah dia memuji Allah (dengan menyebut Alhamdulillah). Sebaliknya sesiapa yang merasai sentuhan (bisikan) sebaliknya hendaklah dia meminta perlindungan Allah daripada syaitan

(dengan menyebut A’uzubillahi minash syaitan nirrajim).[25]

Satu contoh mudah ialah adab minum air sebagaimana yang telah diterangkan dalam ciri syaitan # 8. Ketika anda memegang segelas air untuk minum, tiba-tiba hati anda berbisik untuk minum sambil duduk. Itu adalah bisikan malaikat. Kemudian muncul pula bisikan lain yang berkata: “Alaah! Tak mengapa, seteguk saja. Menyusahkan saja untuk duduk.” Itu adalah bisikan syaitan. Lawanlah ia dengan mengucap “A’uzubillahi minash syaitan nirrajim” kemudian duduk dan minumlah.


c. Syaitan mempengaruhi imaginasi manusia:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ الْمَرْأَةَ تُقْبِلُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ وَتُدْبِرُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ

فَإِذَا أَبْصَرَ أَحَدُكُمْ امْرَأَةً فَلْيَأْتِ أَهْلَهُ فَإِنَّ ذَلِكَ يَرُدُّ مَا فِي نَفْسِهِ.
Sesungguhnya seorang wanita tampil dalam gambaran syaitan dan membelakangi dalam gambaran syaitan.
Maka jika seseorang kalian melihat wanita (yang dia tertarik dengannya), maka kembalilah kepada isterinya
kerana itu akan menolak (lintasan jahat) dalam dirinya.[26]

Dalam hadis di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan kemampuan syaitan membentuk gambaran atau imajinasi pada pemikiran seorang lelaki yang melihat wanita. Semua ini akan menyebabkan lelaki itu mula mengkhayal secara seksual akan wanita tersebut. Perkara ini tidak saja dilakukan oleh syaitan kepada lelaki yang melihat wanita tetapi juga kepada wanita yang melihat lelaki.


Gambaran atau imajinasi yang dibuat oleh syaitan dapat ditolak dengan masing-masing kembali kepada pasangannya. Jika belum bernikah atau tidak dapat kembali, maka jagalah pandangan masing-masing sejak dari awal.


d. Syaitan mempengaruhi tumpuan atau fokus manusia:

Antara tumpuan yang masyhur diganggu syaitan ialah kekhusyukan ketika solat dan membaca al-Qur’an. Seorang sahabat bernama ‘Utsman bin Abi al-‘Ash radhiallahu 'anh mengadu kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya syaitan menghalang antaraku dan solat serta bacaan al-Qur’anku, dan ia selalu mengelirukan aku.” Maka Rasulullah menjawab:

ذَاكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خَنْزَبٌ فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْهُ وَاتْفِلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلاَثًا.

Itulah syaitan yang disebut sebagai “Khanzab”, maka apabila merasai gang-guannya, mohonlah perlindungan Allah darinya dan ludahlah ke kiri sebanyak tiga kali. ‘Utsman bin al-‘Ash kemudian berkata: “Aku melakukan itu dan Allah menjauhkan gangguan syaitan itu dariku.”[27]

Syaitan tidak saja mengganggu tumpuan solat tetapi aja jua aktiviti lain yang dilakukan kerana agama. Sebagai contoh, apabila anda ingin membaca buku agama, syaitan akan mengganggu tumpuan anda dengan tangisan bayi, anak yang meminta perhatian, perasaan mengantuk dan kesukaran untuk faham.


e. Syaitan mempengaruhi motivasi manusia melakukan kebaikan:

Syaitan mampu mempengaruhi motivasi kita apabila ingin melakukan sesuatu aktiviti demi kebaikan agama, seperti mengkaji al-Qur’an dan hadis, bersedekah, membuat kerja sukarelawan, melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar serta berdakwah kepada orang ramai. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila dia bercita-cita (untuk kebaikan agama yang dibawanya), maka syaitan pun melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu (dari) mencapai cita-citanya. [al-Hajj 21:52]


Nah! Jika syaitan menghasut dan mengganggu para Nabi dan Rasul, sudah tentu syaitan juga akan menghasut dan mengganggu kita. Oleh kerana itulah, apabila kita ingin melakukan sesuatu aktiviti demi kebaikan agama, kita merasa sukar untuk memberi tumpuan penuh kepadanya. Selain itu akan ada saja pelbagai faktor yang menghalang atau menyukarkan sehingga kita hilang motivasi untuk meneruskannya. Ketahuilah bahawa semua itu adalah dari syaitan, maka lawanlah ia. Berhenti dari melakukan aktiviti yang dirancang adalah tanda mengalah kepada syaitan. Sebaliknya meneruskan apa yang dirancang dengan penuh motivasi dan dedikasi adalah tanda kemenangan di atas syaitan.


Antara contoh aktiviti yang dimaksudkan ialah bersedekah, dimana Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:


Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat),

padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu),
kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya,
lagi sentiasa Terpuji.

f. Syaitan menjanjikan kamu dengan kemiskinan dan kepapaan

(jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedangkan Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa Meliputi Pengetahuan-Nya.
[al-Baqarah 2:267-268]

g. Syaitan mempengaruhi manusia dengan sikap terburu-buru.

Jika dalam kes di atas syaitan mempengaruhi kita dengan sikap negatif seperti malas, tidak berminat dan tiada motivasi, maka sebaliknya syaitan juga mampu mempengaruhi kita dengan sikap tergesa-gesa. Akhirnya berlaku apa yang berlawanan, seperti terlebih bersemangat (over excited), melampaui batas, mengharapkan hasil serta-merta dan kelam-kabut. Kemudian apabila apa yang diinginkan tidak menjadi, sikap tergesa-gesa di atas beralih kepada berputus asa, merungut, menuduh orang lain atas kegagalan diri sendiri dan sebagainya.

Ada pun Islam, maka ia menganjurkan sikap yang dipertengahan antara malas dan tergesa-gesa. Sikap tersebut ialah tenang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


اَلتَّأَنِيْ مِنَ اللهِ وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ.

Ketenangan adalah dari Allah manakala ketergesa-gesaan adalah dari syaitan.[28]


h. Syaitan mempengaruhi manusia dengan perasaan cemburu:

Isteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, A’isyah radhiallahu 'anha menerangkan pada satu malam baginda keluar dari rumahnya dan ini menyebabkan dia merasa cemburu. Kemudian Rasulullah kembali ke rumah dan mendapati dia sedang dalam keadaan yang cemburu. Lalu baginda bertanya:

مَا لَكِ يَا عَائِشَةُ؟ أَغِرْتِ؟ فَقُلْتُ: وَمَا لِي لاَ يَغَارُ مِثْلِي عَلَى مِثْلِكَ؟

فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَقَدْ جَاءَكِ شَيْطَانُكِ؟
قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَوْ مَعِيَ شَيْطَانٌ؟ قَالَ: نَعَمْ. قُلْتُ: وَمَعَ كُلِّ إِنْسَانٍ؟
قَالَ: نَعَمْ. قُلْتُ: وَمَعَكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: نَعَمْ وَلَكِنْ رَبِّي أَعَانَنِي عَلَيْهِ حَتَّى أَسْلَمَ.
“Apa jadi kepada kamu wahai A’isyah? Adakah kamu cemburu?”
“Takkanlah aku tidak cemburu kepada orang seperti anda?”
Kemudian Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melanjutkan:
“Apakah telah datang kepadamu syaitan kamu?”
“Wahai Rasulullah! Apakah bersama aku ada syaitan?”
“Ya.”
“Dan (apakah syaitan itu ada) pada setiap manusia?”
“Ya.”
(Apakah syaitan juga) bersama kamu wahai Rasulullah?”
“Ya, akan tetapi Tuhanku telah menolongku darinya
sehingga aku selamat dari gangguannya.”[29]

i. Syaitan mempengaruhi manusia dengan perasaan marah:

Sulaiman bin Shurd radhiallahu 'anh berkata:

كُنْتُ جَالِسًا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجُلاَنِ يَسْتَبَّانِ

فَأَحَدُهُمَا احْمَرَّ وَجْهُهُ وَانْتَفَخَتْ أَوْدَاجُهُ.
فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنِّي لأَعْلَمُ كَلِمَةً لَوْ قَالَهَا ذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ
لَوْ قَالَ: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ ذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ.

Ketika aku sedang duduk bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, dua orang sedang bertengkar sehingga salah seorang dari mereka menjadi merah wajahnya dan urat-urat lehernya timbul keluar. Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang jika diucapkan

nescaya kemarahannya akan hilang. Iaitu sebutlah “A’uzubillahi minash syaitan” nescaya kemarahannya akan hilang.[30]

Terdapat dua faktor di sebalik kemarahan. Pertama ialah faktor peribadi, seperti orang yang marah kerana kedudukannya tidak dihormati atau kerana barangnya telah dirosakkan. Ini adalah marah yang tercela dan perlu dihindarkan. Kedua ialah faktor agama, seperti seorang muslim yang merasa marah kerana ajaran agamanya dirosakkan oleh muslim yang lain atau marah apabila umat Islam dizalimi oleh kaum lain. Ini adalah marah yang terpuji, akan tetapi tidaklah bermakna seseorang itu boleh terus bertindak kasar kerananya. Yang dituntut ialah tetap tenang dan berlemah lembut untuk menangani orang yang menyebabnya marah. Sikap tenang adalah berdasarkan hadis yang dikemukakan sebelum ini:


اَلتَّأَنِيْ مِنَ اللهِ وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ.

Ketenangan adalah dari Allah manakala ketergesa-gesaan adalah dari syaitan.[31]

Manakala sikap lemah lembut adalah berdasarkan hadis:


إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الأَمْرِ كُلِّهِ.

Sesungguhnya Allah mencintai sikap lemah lembut dalam segala urusan.[32]

Jika dirujuk kepada sirah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, akan ditemui beberapa ketika baginda marah atas faktor agama. Akan tetapi kemarahan tersebut tidaklah menyebabkan baginda mengeluarkan kata-kata yang kotor atau bertindak ganas. Sebaliknya baginda hanya memberi teguran yang tenang lagi lemah lembut. Satu contoh ialah kisah berikut yang diriwayatkan oleh Abu Mas‘ud al-Anshari radhiallahu 'anh.


Beliau menceritakan, seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku pernah mundur dari solat (berjamaah) disebabkan si-fulan (imamnya) membaca surah yang panjang.” (Abu Mas‘ud) menyambung: Aku tidak pernah melihat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam amat dahsyat kemarahannya dalam rangka memberi nasihat berbanding pada saat itu. Lalu baginda bersabda:


أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّكُمْ مُنَفِّرُونَ فَمَنْ صَلَّى بِالنَّاسِ فَلْيُخَفِّفْ

فَإِنَّ فِيهِمْ الْمَرِيضَ وَالضَّعِيفَ وَذَا الْحَاجَةِ
Wahai manusia! Sesungguhnya di antara kalian ada yang membuat orang-orang lari dari solat berjamaah.
Maka sesiapa yang mengimami manusia, hendaklah dia meringankan (memendekkan) bacaan
kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada yang sakit, lemah dan berurusan.[33]

j. Syaitan mempengaruhi manusia dengan sifat lupa:

Terdapat dua jenis lupa. Pertama lupa dalam urusan harian seperti lupa dimana letaknya anak kunci rumah atau lupa membeli barang tertentu di kedai runcit. Kedua lupa dalam urusan agama seperti lupa solat atau hafalan al-Qur’an. Lupa jenis kedua berasal dari syaitan, kerana syaitan dapat mempengaruhi manusia dengan sifat lupa. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu). [al-An’aam 6:68]


Walaubagaimana pun sesetengah kes lupa dari jenis pertama boleh berasal dari pengaruh syaitan kerana dengan kelupaan tersebut, seseorang itu mungkin menjadi marah dan merungut. Sikap negatif seperti ini adalah sesuatu yang disukai oleh syaitan. Maka jika lupa dalam urusan harian, hendaklah tetap tenang dan seterusnya mencari jalan untuk mengelaknya dari berulang pada masa akan datang. Satu contoh lupa jenis pertama ini yang berpunca dari syaitan ialah kisah berikut yang berlaku pada zaman Nabi Musa ‘alaihi salam:


Temannya berkata: “Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan syaitan; dan ikan itu telah menggelunsur menempuh jalannya di laut dengan cara yang menakjubkan.” [al-Kahf 18:63]


k. Syaitan mempengaruhi manusia dengan kesakitan:

Penyakit adalah sesuatu yang lazim dialami oleh manusia. Akan tetapi syaitan turut serta dengan sesuatu penyakit dengan menambah pengaruh kesakitan, kepayahan, kesengsaraan dan keluhan yang dialami:

Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami, Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya

(ketika menghadapi penyakitnya) dengan berkata: “Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan kesusahan dan siksaan.” [Shad 38:41]

l. Syaitan mempengaruhi manusia untuk berbuat jahat:

Syaitan mampu mempengaruhi seseorang atau menghasutnya untuk berbuat jahat. Antara kejahatan tersebut ialah mengganggu orang yang sedang solat dengan cara sengaja melintas di hadapannya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ مِنْ النَّاسِ فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بَيْنَ يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ.

Apabila seseorang kalian solat dengan menghadap sesuatu (yang diletakkan) sebagai penghadang dari (lalu lintas) orang lain, lalu ada orang yang hendak melintas di antaranya dan penghadang itu, maka tahanlah dia.
Jika dia enggan (dan tetap berkeras untuk melintas) maka tahanlah dia dengan lebih tegas kerana dia tidak lain ialah syaitan.[34]

Dalam hadis di atas, yang akan melintas di hadapan orang yang sedang solat bukanlah syaitan tetapi orang yang dipengaruhi atau dihasut oleh syaitan. Ini kerana dalam sebuah riwayat lain, hadis di atas diakhiri dengan lafaz “…kerana sesungguhnya syaitan bersama dia.”[35]


Inilah juga yang dimaksudkan sebagai “syaitan-syaitan manusia” dalam firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:


Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin,

setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya
untuk memperdaya pendengarnya. [al-An’aam 6:112]

Yang dimaksudkan dengan “syaitan-syaitan manusia” ialah manusia yang dipengaruhi dan dihasut oleh syaitan untuk berbuat jahat dan menjadi musuh kepada para Nabi. Penafsiran ini adalah berdasarkan perbezaan asal usul kedua-duanya, dimana syaitan berasal dari api manakala manusia berasal dari tanah.


Dalam rangka berbuat jahat, syaitan bukan sahaja mempengaruhi manusia tetapi juga mempengaruhi haiwan untuk berbuat jahat kepada manusia. Salah satu darinya ialah mempengaruhi tikus untuk menjatuhkan lampu-lampu pelita agar dengan itu dapat berlaku kebakaran di rumah.


‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma menerangkan bahawa pernah seekor tikus menolak sebuah lampu pelita sehingga tumbang di atas tikar yang sedang diduduki oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Lalu terbakarlah tikar tersebut sebesar saiz satu dirham. Melihat yang sedemikian Rasulullah bersabda:


إِذَا نِمْتُمْ فَأَطْفِئُوا سُرُجَكُمْ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَدُلُّ مِثْلَ هَذِهِ عَلَى هَذَا فَتُحْرِقَكُمْ.

Apabila kalian hendak tidur maka padamkanlah lampu pelita kalian kerana sesungguhnya syaitan menunjuki ini (tikus) kepada itu (lampu pelita) sehingga kalian terbakar.[36]

Demikian beberapa kemampuan syaitan untuk mempengaruhi manusia. Selain apa yang disebut di atas, syaitan juga mampu mempengaruhi dengan sikap-sikap buruk yang lain. Tidak ketinggalan ialah sikap-sikap yang menyebabkan ia diusir dari langit, iaitu ujub, menghina, mengunggulkan akal di atas wahyu dan mempersoalkan wahyu.


Dalam kehidupan harian kita, sudah pasti satu atau lebih dari sikap-sikap di atas mempengaruhi kita. Pada waktu pagi kita mungkin marah, pada waktu petang kita mungkin cemburu, pada waktu petang kita mungkin berburuk sangka dengan rakan dan pada waktu malam kita mungkin merasa malas untuk pergi ke kuliah agama. Semua ini adalah pengaruh syaitan, maka lawanlah ia dengan mengucap “A’uzubillahi minash syaitan nirrajim” dan tinggalkan sikap-sikap yang buruk tersebut.


Ciri # 16: Syaitan dapat merasuk manusia.

Dalam dua ciri di atas, kita telah mempelajari kemampuan syaitan untuk bergerak dalam diri manusia dan melakukan pelbagai pengaruh ke atas manusia yang dimasukinya. Dalam suasana itu manusia yang dipengaruhi masih dalam keadaan yang normal. Akan tetapi adakalanya syaitan dapat mempengaruhi manusia hingga mengubah perwatakan dan tingkah lakunya, menjadi seolah-olah orang yang gila. Inilah yang disebut sebagai kerasukan atau histeria. Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan tentang kemampuan syaitan ini:

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya

orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. [al-Baqarah 2:275]

Kerasukan tidak saja terhad kepada orang yang melibatkan diri dalam urusniaga riba, tetapi meluas kepada pelbagai keadaan yang lain. Merujuk kepada persoalan kerasukan dan hubung kaitnya dengan syaitan, manusia terbahagi kepada tiga golongan:


a. Mereka yang menafikannya. Golongan ini berkata, kerasukan tidak berpunca dari syaitan sebaliknya berpunca dari penyakit tertentu seperti gangguan saraf, perubahan hormon, tekanan jiwa (stress) dan sebagainya. Penyakit-penyakit ini dapat dihentikan dengan mengambil ubat.


b. Mereka yang berlebih-lebihan. Golongan ini mengakui bahawa kerasukan berpunca dari syaitan. Akan tetapi mereka berlebih-lebihan dalam menyandarkannya kepada syaitan sehingga apa jua perubahan tingkah laku (behaviour) yang dihadapi oleh seseorang, mereka menganggapnya sebagai kerasukan syaitan.


c. Mereka yang berada di pertengahan antara golongan pertama dan kedua. Golongan ketiga ini berkata kerasukan boleh berpunca dari penyakit dan boleh juga berpunca dari syaitan. Maka kerasukan pertama (penyakit) dihentikan dengan ubat-ubatan manakala kerasukan kedua (syaitan) dihentikan dengan zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Jika tidak pasti kerasukan yang dialami oleh seseorang sama ada berpunca dari penyakit atau syaitan, maka ia dihentikan dengan ubat dan zikir.


Ada pun hujah golongan pertama bahawa kerasukan hanya berpunca dari penyakit, mereka  membuktikannya dengan pelbagai penemuan baru tentang apa yang sedang berlaku dalam badan. Bahkan dengan peralatan serba canggih masa kini, mereka dapat menunjuk secara tepat bahagian saraf yang sedang mengalami gangguan dan keadaan hormon badan yang tidak seimbang. Maka apabila diberi ubat, apa yang dianggap sebagai kerasukan dapat dihentikan.


Akan tetapi, sekali pun dengan segala penemuan dan alat canggih tersebut, tetap timbul satu persoalan yang masih tidak dapat dijawab oleh para pakar perubatan: Mengapa saraf mengalami gangguan dan mengapa sebahagian kelenjar merembeskan hormon secara berlebihan? Benar, bahawa semua itu dapat dihentikan dengan mengambil ubat tertentu. Akan tetapi mengapakah kerasukan berulang apabila ubat habis dimakan?


Jawapannya dapat diperolehi dengan mengkaji peranan syaitan. Apabila syaitan memasuki tubuh badan manusia, ia mampu mengganggu kestabilan saraf dan keseimbangan hormon. Bahkan ia mampu melakukan pelbagai lagi yang tidak dianggap sebagai kerasukan, seperti mematikan saraf (paralyse), menyumbat saluran darah (blood clot) dan merangsang sel-sel tertentu untuk berkembang dengan pantas secara tak terkawal (tumor and cancer). Semua ini amat mudah bagi syaitan dan semua ini akan diakui oleh sesiapa yang mengkaji secara teliti kesemua ciri-ciri syaitan yang dikupas dalam bab ini.


Walaubagaimana pun, ini tidaklah bererti semua penyakit dan gangguan tingkah laku berpunca dari syaitan. Sebahagiannya berpunca dari faktor lain seperti gizi pemakanan yang tidak seimbang, kecederaan fizikal, tekanan jiwa, usia tua dan sebagainya. Maka tidaklah benar anggapan golongan kedua bahawa semua perubahan kelakuan berpunca dari syaitan.


Yang benar adalah bahawa kerasukan mungkin berpunca dari penyakit dan mungkin juga berpunca dari syaitan. Maka apa yang berpunca dari penyakit, ia dihentikan dengan ubat-ubatan yang diberi oleh doktor pakar manakala apa yang berpunca dari syaitan, ia dihentikan dengan zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Jika tidak pasti sama ada kerasukan berpunca dari penyakit atau syaitan, maka kedua-dua kaedah digunakan serentak untuk menghentikannya.


Seterusnya, peranan syaitan dalam menyebabkan kerasukan kepada manusia terbahagi kepada dua kategori:


a. Kategori Pertama: Kerasukan yang dilakukan oleh syaitan berdasarkan kemahuannya sendiri. Sengaja syaitan merasuk manusia untuk menyesatkannya, mengkafirkannya, mensyirikkannya dan memasukkan mangsa tersebut ke dalam neraka. Semua ini dapat dicapai oleh syaitan apabila mangsa atau orang di sekelilingnya cuba mengubati kerasukan itu dengan cara yang berbeza dari tunjuk ajar Rasulullah, bahkan dengan cara yang dilarang oleh Islam.


b. Kategori Kedua: Kerasukan yang dilakukan oleh syaitan berdasarkan perintah tuannya. Ini disebut sebagai sihir. Sihir adalah satu tindakan jahat yang memerlukan dua unsur utama:

Manusia sebagai ahli sihir sekali gus merangkap jawatan “Tuan”.
Syaitan sebagai khadam yang melakukan kerja sihir yang diperintah oleh tuannya.
Melalui sihir syaitan dapat mencapai beberapa objektifnya. Secara terperinci:

Objektif Menyesatkan:
Apabila orang yang terkena sihir berubat, lazimnya mereka tidak tahu cara perubatan sahih yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Mereka berjumpa dengan mana-mana bomoh atau ustaz yang masyhur di sisi masyarakat untuk berubat dan menerima apa saja kaedah perubatan yang diberikan olehnya. Bahkan mereka tidak tahu apakah maksud jampi-jampian yang dibacakan ke atas mereka. Akibatnya, mereka telah meninggalkan jalan Rasulullah kepada jalan lain yang menyesatkan.

Objektif Memusyrikkan:
Apabila orang yang terkena sihir berubat, lazimnya mereka meletakkan keyakinan bahawa pengaruh kesembuhan adalah dari bomoh atau ustaz yang sedang mengubatinya beserta bacaan-bacaan jampi mereka. Padahal satu-satunya pengaruh untuk kesembuhan ialah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Apabila keyakinan seseorang terhadap kuasa yang dapat memberi manfaat dan mudarat kepadanya beralih dari Allah kepada sesuatu yang lain, dia telah syirik kepada Allah.

Objektif Mengkafirkan:
Satu contoh mudah, apabila Jamal ingin berbuat jahat kepada Jamilah, dia akan menemui seorang ahli sihir bernama Ahmad dan menyampaikan hajatnya. Ahmad akan memerintah khadamnya, yakni syaitan, untuk membuat apa yang dihajatkan oleh Jamal ke atas Jamilah. Perbuatan itu pelbagai, dari muntah darah, gangguan pemikiran sehinggalah kepada kerasukan. Inilah yang lazim disebut sebagai “kena buat orang!”

Untuk melawan buatan sihir itu, Jamilah akan pergi menemui seorang ahli sihir lain bernama Kamal dan menyampaikan hajatnya. Kamal akan memerintahkan khadamnya, yakni syaitan, untuk membuatkan apa yang dihajatkan oleh Jamilah ke atas Jamal. Demikianlah ia berulang antara Jamal dan Jamilah.


Dalam contoh di atas, syaitan berjaya mengkafirkan kesemua Jamal, Jamilah, Ahmad dan Kamal. Sekali pun syaitan disebut sebagai “khadam”, sebenarnya ia adalah tuan kepada semua yang terbabit, termasuklah Ahmad dan Kamal. Syaitan hanya berpura-pura menjadi khadam asalkan dengan itu tercapailah objektifnya untuk mengkafirkan manusia.


Sesiapa saja yang terlibat dengan sihir, sama ada untuk menyihir atau melawan sihir dengan sihir, akan menjadi kafir berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:


Mereka mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu,

akan tetapi syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya);

Kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat:

Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun
melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajari sihir).” [al-Baqarah 2:102]

Objektif memasukkan ke dalam neraka:
Orang yang berurusan dengan sihir akan menerima padah yang buruk di Hari Akhirat, termasuk diazab di dalam neraka. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara (sihir) yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu, tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di Akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui. [al-Baqarah 2:102][37]

Ciri # 17: Syaitan dapat mempengaruhi mimpi manusia.

Syaitan bukan sahaja mempengaruhi hati manusia tetapi juga mimpi yang dialami oleh manusia. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjelaskan:

الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ مِنْ اللَّهِ وَالْحُلُمُ مِنْ الشَّيْطَانِ فَإِذَا حَلَمَ أَحَدُكُمْ حُلُمًا يَخَافُهُ

فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ وَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّهَا فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ.
Mimpi yang baik adalah dari Allah manakala mimpi yang buruk adalah dari syaitan. Maka apabila seseorang kalian mengalami mimpi buruk yang menakutkannya, hendaklah dia meludah ke arah kirinya dan minta perlindungan dari Allah dari keburukannya kerana setelah itu ia (mimpi tersebut) tidak akan mengakibatkan apa-apa kemudaratan.[38]

Mimpi buruk dari syaitan tidak terhad kepada sesuatu yang mengerikan (nightmare) sahaja. Dalam rangka mempengaruhi mimpi manusia, syaitan adakalanya menjelma sebagai seorang syaikh, wali atau tuan guru lalu menyampaikan sesuatu ajaran agama, seperti zikir-zikir dan amal ibadah yang menyalahi apa yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Orang yang sedang bermimpi menduga dia telah mendapat mimpi yang baik dari Allah padahal yang benar dia mendapat mimpi yang buruk dari syaitan. Dia menyangka telah mendapat satu syari‘at khusus dari Allah berbanding syari‘at awam yang dibawa oleh Rasulullah, padahal yang dia dapati hanyalah syari‘at kesesatan dari syaitan.


Berkaitan mimpi, ramai orang yang salah faham tentang hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:


مَنْ رَآنِي فَقَدْ رَأَى الْحَقَّ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَتَكَوَّنُنِي.

Sesiapa yang melihat aku dalam mimpi maka sungguh dia telah melihat dengan benar kerana syaitan tidak dapat menyerupai aku.[39]

Mereka menganggap siapa jua yang mereka temui dalam mimpi yang memiliki ciri-ciri berjambang, memakai serban dan jubah putih serta menaiki unta dalam suasana padang pasir atau sedang berteduh di bawah pohon kurma, maka orang itu ialah Rasulullah.


Memang benar bahawa syaitan tidak boleh menjelma sebagai Rasulullah. Akan tetapi syaitan boleh menjelma sebagai seseorang lain lalu orang yang bermimpi mendakwa itu adalah Rasulullah. Lebih-lebih lagi apabila orang itu sendiri sebelum tidur melakukan sekian-sekian zikir dan selawat yang dipercayai boleh menghadirkan Rasulullah dalam mimpinya. Maka syaitan datang menjelma dalam mimpi sebagai seseorang yang berjambang, berserban, berjubah dan menaiki unta, lalu segera dianggap oleh orang yang bermimpi: Itu adalah Rasulullah.


Ciri # 18: Syaitan dapat beraktiviti.

Syaitan adalah satu makhluk yang memiliki kemahiran membuat, bertindak dan beraktiviti. Antara aktiviti tersebut ialah membuat bangunan dan menyelam untuk Nabi Sulaiman ‘alaihi salam:

(Sulaiman berdoa): “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurnia-Nya.”


Maka (Kami kabulkan permohonannya lalu) Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendak ditujunya. Dan (Kami mudahkan bagi Sulaiman memerintah) syaitan: golongan-golongan yang pandai mendirikan bangunan dan yang menjadi penyelam. [Shad 38:35-37]


Jika syaitan mampu membina bangunan dan menyelam, maka mudah sangatlah bagi ia untuk melakukan aktiviti yang dianggap masyarakat sebagai satu mukjizat atau Karamah seperti air yang tiba-tiba mengalir keluar dari tanah yang tandus, makanan yang datang dari arah kubur seorang syaikh, al-Qur’an yang terbuka dan tertutup dengan sendirinya, lampu atau pelita yang menyala dan padam dengan sendirinya dan aktiviti-aktiviti lain yang di luar adat kebiasaan.


Syaitan melakukan semua itu kerana dua sebab:


a. Syaitan tersebut dipelihara oleh tuannya dan tuannya ingin agar masyarakat menghormati dia dan menganggap dia sebagai wali. Maka dia mengarahkan syaitan peliharaannya melakukan aktiviti-aktiviti di luar adat kebiasaan untuk memberi pengaruh kepada masyakarat. Dengan ketipan jarinya, lampu akan menyala. Dengan tepukan tangan, rumah jiran yang condong ditiup angin kuat kembali tegak. Dengan satu senyuman, gadis yang kerasukan tiba-tiba sembuh dan tersenyum. Dengan mengangkat kedua tangannya, perahu yang tenggelam di laut dalam akan timbul. Bahkan syaitan mampu membawanya terbang dan bergerak pantas (Lihat Ciri # 13). Fenomena terakhir ini lazim dilakukan oleh pakar-pakar seni mempertahankan diri dimana mereka boleh terbang sambil melawan atau mengejar musuh. Ia juga dilakukan oleh para syaikh tareqat: sarapan di Masjidil Haram, makan tengahari di Masjidil Aqsa, minum petang di Kandahar, makan malam di rumahnya. Semua ini akan menyebabkan masyarakat memandang mereka sebagai seorang wali Allah.


b. Syaitan ingin menyesatkan masyarakat setempat dan membawa fitnah kepada seorang hamba yang shalih. Maka syaitan menerbitkan mata air di tanah tandus berhampiran rumah orang shalih itu, menempatkan awan di atas rumahnya agar sentiasa teduh, mengarahkan angin untuk meniup daun-daun kering dari laman rumahnya dan membuka pintu pagar bagi sesiapa yang berhajat untuk mengunjunginya. Aktiviti-aktiviti di luar adat kebiasaan sebegini akan menyebabkan masyarakat segera menganggap orang shalih tersebut sebagai wali Allah.


Dalam kedua-dua kes di atas, apabila masyarakat mula menganggap seseorang itu sebagai wali Allah, mereka akan bersegera mengambil berkat darinya, meminta air jampi darinya, berdoa dengan perantaraannya, menggantung potretnya dan bersolat dengan menghadap gambarnya. Dengan semua ini tercapailah objektif syaitan untuk menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan mereka ahli neraka.


Khusus kepada kes kedua, ia lazim berlaku kepada para shaikh tasawuf. Mereka asalnya ialah para hamba Allah yang shalih lagi bertaqwa, yang mendisiplinkan diri untuk beribadah kepada Allah secara bersungguh-sungguh. Kemudian syaitan datang melakukan beberapa aktiviti di luar adat kebiasaan di sekelilingnya sehingga masyarakat menganggap dia adalah seorang wali Allah. Dari sini mulalah mereka mengagungkan dia dengan pelbagai amalan bid‘ah dan cerita-cerita fantasy. Akhirnya seorang hamba Allah yang shalih telah diangkat oleh masyarakat menjadi super wali dan pelbagai pemikiran serta amalan yang syirik dilakukan atas namanya.[40]


Ciri # 19: Syaitan dapat ditangkap.

Abu Darda radhiallahu 'anh menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bangun untuk bersolat, lalu ketika sedang solat, baginda berkata:

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْكَ.

“Aku berlindung kepada Allah dari engkau!”.

Kemudian baginda berkata:

أَلْعَنُكَ بِلَعْنَة اللَّهِ.
“Aku melaknat engkau dengan laknat Allah!”

Sebanyak tiga kali, sambil menghulurkan tangan seolah-olah ingin menangkap sesuatu. Apabila baginda selesai solat, kami bertanya: “Wahai Rasulullah! Kami mendengar kamu berkata dalam solat sesuatu yang tidak pernah kami dengar kamu memperkatakannya (ketika sedang solat) dan kami melihat kamu menghulurkan tangan.”


Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjawab:


إِنَّ عَدُوَّ اللَّهِ إِبْلِيسَ جَاءَ بِشِهَابٍ مِنْ نَارٍ لِيَجْعَلَهُ فِي وَجْهِي

فَقُلْتُ: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ.
ثُمَّ قُلْتُ: أَلْعَنُكَ بِلَعْنَةِ اللَّهِ التَّامَّةِ فَلَمْ يَسْتَأْخِرْ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ أَرَدْتُ أَخْذَهُ
وَاللَّهِ لَوْلاَ دَعْوَةُ أَخِينَا سُلَيْمَانَ لأَصْبَحَ مُوثَقًا يَلْعَبُ بِهِ وِلْدَانُ أَهْلِ الْمَدِينَةِ.

Sesungguhnya musuh Allah, yakni iblis, datang dengan membawa api untuk dilemparkan ke muka aku.

Maka aku mengucap: “Aku berlindung kepada Allah dari engkau!” tiga kali. Kemudian aku mengucap: “Aku melaknat engkau dengan laknat Allah!” akan tetapi dia tidak mengundur diri. Kemudian aku bermaksud untuk menangkapnya. Demi Allah! Jika bukanlah kerana doa saudara kami Sulaiman nescaya ia akan terikat sehingga pagi dan dijadikan mainan anak-anak warga Madinah.[41]

Berdasarkan hadis di atas, syaitan adalah satu makhluk yang boleh ditangkap, dikurung dan diikat. Hanya dari sudut syari‘at tindakan menangkap, mengurung dan mengikat makhluk jin dan syaitan tidak dibenarkan disebabkan oleh doa Nabi Sulaiman ‘alahi salam yang telah dikemukakan sebelum ini:


(Sulaiman berdoa): “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurnia-Nya.” [Shad 38:35]


Berdasarkan doa ini, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak menangkap iblis sekali pun baginda mampu melakukannya. Ini kerana tindakan tersebut hanya dibolehkan kepada Nabi Sulaiman dan dilarang kepada selainnya, termasuk Rasulullah dan umat baginda.


Bagi Rasulullah dan umat baginda, Allah yang akan mengikat iblis sekali setahun, iaitu sepanjang bulan Ramadhan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ.

Apabila masuk bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan diikat.[42]

Berdasarkan hadis di atas juga dapat kita bezakan bahawa orang-orang yang memelihara atau menggunakan khidmat jin dan syaitan, mereka sebenarnya tidak mengikuti ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah. Jin dan syaitan sengaja membiarkan diri mereka diikat dan dijadikan khadam oleh tuannya agar dengan itu mereka dapat menjerumuskan tuan mereka ke dalam kesesatan.[43]


Ciri # 20: Syaitan memiliki waktu kegemaran.

Orang tua kita lazim berpesan, jangan bermain di luar ketika waktu senja. Pesanan ini berasal dari Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

إِذَا اسْتَجْنَحَ اللَّيْلُ (أَوْ قَالَ جُنْحُ اللَّيْلِ) فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ

تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ فَإِذَا ذَهَبَ سَاعَةٌ مِنْ الْعِشَاءِ فَخَلُّوهُمْ.
Apabila malam menjelang tiba maka tahanlah anak-anak kalian (dari keluar) kerana sesungguhnya pada waktu itu syaitan-syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu waktu Isya’, maka lepaskanlah mereka.[44]

Ciri # 21: Syaitan memiliki tempat kegemaran.

Syaitan juga memiliki tempat kegemarannya, atau apa yang dapat disebut sebagai tempat melepaknya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

لاَ تَكُونَنَّ إِنْ اسْتَطَعْتَ أَوَّلَ مَنْ يَدْخُلُ السُّوقَ وَلاَ آخِرَ مَنْ يَخْرُجُ مِنْهَا

فَإِنَّهَا مَعْرَكَةُ الشَّيْطَانِ وَبِهَا يَنْصِبُ رَايَتَهُ.
Selagi mampu, janganlah menjadi orang yang pertama memasuki pasar dan janganlah menjadi orang terakhir keluar dari pasar kerana sesungguhnya pasar adalah medan tempur syaitan dan di situlah benderanya dicacak.[45]

Pada zaman kini pasar bukan sahaja merujuk kepada tempat menjual ikan dan sayur tetapi meluas kepada pasaraya, pusat membeli belah dan bursa saham.


Nota Kaki

[1] Penyusunan bab ini adalah berdasarkan manhaj Imam al-Bukhari rahimahullah (256H) yang telah meletakkan satu bab khusus dalam kitab Shahihnya, iaitu Sifat iblis dan para tenteranya. Dalam bab tersebut beliau telah meletakkan hadis-hadis yang menerangkan sifat-sifat atau ciri-ciri iblis, syaitan dan para tentera mereka. Lalu saya mengikuti manhaj tersebut dan menghimpun ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis sahih dari kitab Shahih al-Bukhari dan selainnya berkenaan ciri-ciri syaitan ke dalam bab ini.
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 828-2 (Kitab solat al-Musafirin…, Bab waktu-waktu yang dilarang solat padanya).
[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3289 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).
[4] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2995 (Kitab al-Zuhd wa al-Raqa’iq, Bab bersin dan kebencian menguap).
[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6223 (Kitab al-Adab, Bab disukai bersin dan dibenci menguap).
[6] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Thabarani dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir, hadis no: 686.
[7] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 5029 (Kitab al-Adab, bab berkenaan bersin). Syaikh Ismail bin Marsyud al-Rumaih memiliki buku kecil yang khas lagi menarik dalam bab ini, berjudul Adab al-Tatstsaub wa al-‘Uthas yang sudah diterjemah oleh Ismail Ali atas judul Adab Menguap dan Bersin yang diterbitkan oleh Pustaka Imam asy-Syafi’i, Bogor, 2004.
[8] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2020 (Kitab al-Asyrabah, Bab adab makan dan minum…).
[9] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2021 (Kitab al-Asyrabah, Bab adab makan dan minum…).
[10] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3286 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).
[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2034 (Kitab al-Asyrabah, Bab disukai menjilat jari…).
[12] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Darimi dan sanadnya dinilai sahih oleh Husain Salim Asad dalam semakannya ke atas Musnad al-Darimi, hadis no: 2174 (Kitab al-Asyrabah, Bab orang yang dibenci minum berdiri).
[13] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2027 (Kitab al-Asyrabah, Bab minum air zam-zam sambil berdiri).
[14] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3270 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).
[15] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban, hadis no: 6189 (Kitab al-Tarikh, Bab permulaan penciptaan, berkenaan khabar iblis yang meletakkan mahkota ke atas kepala tenteranya yang paling berjaya membuat fitnah).
[16] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2813-2 (Kitab Sifat al-Qiyamah wa al-Jannah…, Bab gangguan syaitan dan pengutusan tenteranya…).
[17] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2018 (Kitab al-Asyrabah, Bab adab makan dan minum…).
[18] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2012 (Kitab al-Asyrabah, Bab perintah menutupi bekas…).
[19] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3295 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).
[20] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 389-2 (Kitab al-Solat, Bab keutamaan azan…).
[21] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 7171 (Kitab al-Ahkam, Bab persaksian hakim…).
[22] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2175 (Kitab al-Salam, Bab apabila dilihat mengiringi seorang wanita, disukai menjelaskan bahawa …).
[23] Dalam hadis ini terdapat beberapa petunjuk tambahan yang penting, iaitu:
1. Orang yang sedang beriktikaf di masjid boleh menerima lawatan dari kaum keluarganya dan berbincang sesuatu urusan keluarga.
2. Merupakan etika yang baik lagi bertepatan dengan sunnah yang mulia apabila isteri hendak keluar rumah (dengan izin suami), suami mengiringinya ke pintu rumah atau pagar luar rumah. Demikian juga apabila suami hendak keluar rumah, isteri mengiringinya ke pintu rumah atau pagar luar rumah.
3. 1400 tahun yang lalu, manusia mengetahui bahawa dalam badan mereka terdapat darah. Akan tetapi manusia tidak tahu bahawa darah tersebut bergerak dan mengalir dalam badannya. Hadis di atas merupakan salah satu pembuktian bahawa sabda Rasulullah berasal dari Allah dan bukan dari dirinya sendiri.
4. Apabila seseorang itu melakukan perkara yang aneh atau berlainan dari kebiasaan, hendaklah dia serta merta menjelaskan perbuatannya itu kepada orang-orang di sekelilingnya bagi mengelak syaitan mempengaruhi orang-orang tersebut dengan sesuatu sangkaan yang buruk. Ini dilakukan sekali pun orang-orang di sekeliling tidak berkata apa-apa ketika menyaksikan keanehan atau kelainan tersebut.
5. Demikian juga apabila berlaku salah faham dalam perbincangan atau komunikasi, hendaklah diluruskan salah faham tersebut serta merta sebelum syaitan sempat menghasut permusuhan antara satu sama lain. Pada masa kini terdapat banyak alat canggih untuk berkomunikasi dengan segera, seperti SMS (sistem pesanan ringkas) dan emel.
[24] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3276 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).
[25] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2988 (Kitab al-Tafsir, Bab tafsir surah al-Baqarah).
[26] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1403 (Kitab al-Nikah, Bab orang yang melihat wanita…).
[27] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2203 (Kitab al-Salam, Bab meminta perlindungan dari syaitan…).
[28] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir, hadis no: 3011.
[29] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2815 (Kitab Sifat al-Qiyamah wa al-Jannah…, Bab gangguan syaitan dan pengutusan tenteranya…).
[30] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3282 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).
[31] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir, hadis no: 3011.
[32] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2165 (Kitab al-Salam, Bab larangan mendahului Ahl al-Kitab…).
[33] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 90 (Kitab al-‘Ilm, Bab marah dalam memberi nasihat dan pengajaran apabila melihat sesuatu yang tidak disukai). Syaikh Khumais al-Sa‘id Muhammad Abdullah memiliki buku yang baik berkenaan marah, berjudul Mawaqif Ghadhiba fihan al-Nabi yang sudah diterjemahkan oleh Beni Sarbeni atas judul Pelajaran Penting Dari Marahnya Nabi, diterbitkan oleh Pustaka Ibnu Katsir, Bogor, 2005.
[34] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 509 (Kitab al-Solat, Bab orang yang solat menghalang orang yang melintas…).
Terjemahan harfiyah bahagian akhir hadis di atas ialah “…Jika dia enggan (dan tetap berkeras untuk melintas) maka bunuhlah dia kerana…”. al-Hafiz ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) menukil perkataan Imam al-Qurtubi bahawa yang dimaksudkan dengan “bunuhlah dia” ialah menahan orang tersebut dengan lebih tegas. al-Qurtubi melanjutkan: “Para ulama’ sepakat bahawa orang yang solat tidak wajib memerangi orang yang melintas di hadapannya dengan menggunakan senjata kerana perbuatan itu menyalahi kaedah untuk melaksanakan solat dengan khusyuk.” [Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (edisi terjemahan oleh Amiruddin dengan judul yang sama; Pustaka Azzam, Jakarta, 2003), jld. 3, ms. 291 (syarah kepada hadis no: 509)].
Lebih lanjut berkenaan hukum meletak penghadang bagi orang yang sedang solat, rujuk buku saya Panduan Ibadah Dalam Musafir Penerbangan (Jahabersa, Johor Bahru), ms. 129.
[35] Fath al-Bari, jld. 3, ms. 293 (syarah kepada hadis no: 509).
[36] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 5247 (Kitab al-Adab, Bab berkenaan memadamkan api pada malam hari).
[37] Lebih lanjut tentang sihir, sila kaji buku-buku berikut:
1. ‘Abd al-Salam al-Syukri – al-Shir bain al-Haqiqah wa al-Wahm fi al-Tashawwur al-Islami (edisi terjemahan oleh Tirmidzi & Sari Narulita atas judul Bedah Tuntas Sihir; Pustaka Qalami, Jakarta, 2004).
2. Muhammad ‘Umar Sulaiman al-Asyqar – ‘Alam al-Sihr wa al-Sya’wadzah (edisi terjemahan oleh Munirul Abidin atas judul Candu Mistik: Menyingkap Sihir dan Perdukunan; Darul Falah, Jakarta, 2005).
3. Ibrahim ‘Abd al-Alim – ar-Radd al-Mubin ‘ala Bida‘i al-Mu‘alijin (edisi terjemahan oleh Masturi Irham & Abdurrahman Salih atas judul Rujukan Lengkap Masalah Jin dan Sihir; Pustaka al-Kautsar, Jakarta, 2005).
4. Abu Ameenah Bilal Philips – The Exorcist Tradition In Islam (Dar al-Fatah, Sharjah, 1997).
5. Abu Ubaidah Mahir bin Saleh Ali Mubarak (edisi terjemahan oleh Abu Ahmad atas judul Ruqyah Syar‘iyyah: Gangguan Jin, Hasad dan ‘Ain; Duta Ilmu, Surabaya, 2006).
6. Abu Mundzir Khalil bin Ibrahim Amin – al-Thuruq al-Hisan fi ‘Illaj Amradh al-Jan (edisi terjemahan oleh Mahfudz; Pustaka Progressif, Jakarta, 2005).
7. Syaikh Askari bin Jamal al-Bugisi – Meluruskan Pemahaman Tentang Hadits Sihir, Studi Kritis Buku: Benarkah Nabi Muhammad s.a.w. Pernah Tersihir Karya Ali Umar al-Habsyi; Pustaka Qaulan Sadida, Malang, 2006.
[38] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3292 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).
[39] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6997 (Kitab al-Ta’bir, Bab siapa yang melihat Nabi dalam mimpi).
[40] Berkenaan para wali dan sikap Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah kepadanya, rujuk buku saya Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Berkenaan amalan mengambil berkat, rujuk risalah saya Perkara Ke-13 Yang Mencemari Kemurnian Tauhid: Menetapkan Keberkatan Terhadap Sesuatu Tanpa Dalil yang dimuatkan dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 6). Berkenaan amalan berdoa dengan perantaraan seorang hamba shalih, rujuk buku saya 11 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid. Berkenaan ilmu tasawuf dan para syaikhnya, rujuk risalah saya Pandangan Ibn Taimiyyah Dalam Tasawuf yang dimuatkan dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 6). Kesemuanya diterbitkan oleh Jahabersa, Johor Bahru.
[41] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 542 (Kitab al-Masajid…, Bab boleh melaknat syaitan ketika sedang solat…).
[42] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3277 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).
[43] Lebih lanjut berkenaan menggunakan khidmat jin, termasuk “jin muslim”, sila rujuk buku saya 11 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid, terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[44] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3280 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).
[45] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2451 (Kitab Fadhail al-Shahabah, Bab keutamaan Umm Salamah).

Perisai Kebal untuk Menangkis Kejahatan Jin dan Syaitan

Kepentingan Hati
 
Ibnu Qayyim ra berkata, hati adalah umpama pemimpin bala tenteranya. Mengenai hati ini ada ditegaskan dalam maksud sebuah Hadith yang berbunyi;
“Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalbu (hati).” (HR Bukhari dan Muslim)

Hati yang tidak bermujahadah, ertinya hati itu beku dan kotor. Hati yang kotor dan beku menyebabkan seseorang itu tidak ingin melakukan kebaikan, malah ia sentiasa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. 

Perkara ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Huzaifah berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam.
“Begitu juga dengan hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati itu terbahagi kepada dua.
“Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada, manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga yang berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan.” (Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Iman, Hadis No. 207)

Bentuk Bisikan (Godaan Was-was)

 
Ibnu Qayyim ra berkata, was was ialah suatu pergerakan atau suara halus yang tidak dapat dirasa dan tersembunyi sifatnya.  Salah satu bentuk tipu daya syaitan yang lazim menimpa orang-orang jahil adalah meniupkan keragu-raguan atau was was dalam masalah bersuci dan solat, dimulai ketika hendak berniat. Sampai-sampai membuat mereka merasa tertawan dan terbelenggu, membuat mereka menyimpang dari sunnah Rasulullah. Sebahagian mereka menganggap bahawa apa yang telah diterangkan oleh sunnah itu tidak cukup sebelum ditambah dengan yang lain.

Bagaimana Syaitan Dapat Membolos Masuk Ke Dalam Jasad Seseorang

 
Sesungguhnya hati itu perisai, setiap perisai ada pagar dan di dalamnya terdapat tingkap kecil. Pemiliknya ialah akal. Di pinggir tingkap itu terdapat sekumpulan musuh yang terdiri dari hawa nafsu dan syaitan yang sentiasa ingin masuk. Peperangan akan tercetus bila-bila masa sahaja.
 
Rahsia utama syaitan menguasai kita ialah apabila mereka lemas dan jahil terhadap agama, kuat hawa nafsu dan lalai. Hanya perisai keimanan tidak akan tewas.

Beberapa Martabat Penyesatan

 
- Martabat Pertama: Kufur dan Syirik
- Martabat Kedua: Bidaah
- Martabat Ketiga: Perbuatan Dosa Besar
- Martabat Keempat: Melakukan dsa-dosa kecil secara berterusan
- Martabat Kelima: Mengerjakan perkara mubah (harus) sahaja contohnya hidup untuk makan, kerja dan lain-lain.
- Martabat keenam: Menyibukkan diri dengan amalan yang kurang afdal
 
Cara-cara Syaitan Menyesatkan Manusia
 
- Pertama: Menghias hal-hal kebatilan sebagai suatu kemuliaan.
قَالَرَبِّ بِمَآأَغْوَيْتَنِيلأُزَيِّنَنَّلَهُمْ فِيالأَرْضِوَلأُغْوِيَنَّهُمْأَجْمَعِينَ
Iblis berkata: `Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahwa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya (Al-Hijr: 39)

-Kedua: Menamakan perkara kemaksiatan dengan nama-nama yang menggemarkan hati

فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَا آدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَّا يَبْلَى
Tetapi syaitan telah berbisik kepadanya, dengan berkata, "Wahai Adam, biarkanlah aku tunjukkan kepadamu sebuah pokok yang dapat memberikan kerajaan yang berkekalan dan yang tidak ada akhirnya." (Thoha: 120)

- Ketiga: Menamakan perkara ketaatan dengan nama penyisihan

قَالُوا إِنْ هَذَانِ لَسَاحِرَانِ يُرِيدَانِ أَنْ يُخْرِجَاكُمْ مِنْ أَرْضِكُمْ بِسِحْرِهِمَا وَيَذْهَبَا بِطَرِيقَتِكُمُ الْمُثْلَى
Mereka berkata: "Sesungguhnya dua orang ini adalah benar-benar ahli sihir yang hendak mengusir kamu dari negeri kamu dengan sihirnya dan hendak melenyapkan kedudukan kamu yang utama (Thoha: 63)

أَوْ يُلْقَى إِلَيْهِ كَنْزٌ أَوْ تَكُونُ لَهُ جَنَّةٌ يَأْكُلُ مِنْهَا وَقَالَ الظَّالِمُونَ إِنْ تَتَّبِعُونَ إِلَّا رَجُلًا مَسْحُورًا
atau (mengapa tidak) diturunkan kepadanya perbendaharaan, atau (mengapa tidak) ada kebun baginya, yang dia dapat makan dari (hasil)nya?" Dan orang-orang yang zalim itu berkata: "Kamu sekalian tidak lain hanyalah mengikuti seorang lelaki yang kena sihir". (Al-Firqan: 8)

- Keempat: Pembolosan masuk ke dalam jiwa manusia paling digemari

Contohnya berjumpa tukang tenung, merancang projek jahat dan lain-lain.

- Kelima: Mengadakan kronologi penyesatan

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا لَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ وَمَنْ يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ مَا زَكَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ أَبَدًا وَلَكِنَّ اللَّهَ يُزَكِّي مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah karena kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorangpun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (An-Nur:21)

كَمَثَلِ الشَّيْطَانِ إِذْ قَالَ لِلْإِنْسَانِ اكْفُرْ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّي بَرِيءٌ مِنْكَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ رَبَّ الْعَالَمِينَ
(Bujukan orang-orang munafik itu adalah) seperti (bujukan) shaitan ketika dia berkata kepada manusia: "Kafirlah kamu", maka tatkala manusia itu telah kafir, maka ia berkata: "Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu, karena sesungguhnya aku takut kepada Allah, Rabb semesta Alam". (Al-Hasyr: 16)

- Keenam: Memesongkan manusia dari kebenaran

Imam Ahmad dan an Nasaie meriwayatkan sebuah hadis dari Saburah ibnu Abi al Fakah bahawa Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya syaitan menghalang manusia dengan caranya. Dia menghalang manusia dengan cara islam, Maka kata syaitan: Adakah kamu ingin mejadi islam sedangkan kamu meninggalkan agama kamu dan agama nenek moyang kamu? Lalu manusia itu tidak mengendahkannya dan menjadi islam, Nabi bersabda: kemudian syaitan menghalang manusia melalui cara hijrah, maka tanya syaitan: Apakah engkau mahu berhijrah dan meninggalkan bumi dan langit kamu?Dan sesungguhnya orang yang berhijrah itu seperti kuda yang diikat dengan tali untuk menjagnya, lalu manusia mengabaikannya dan berhijrah. Kemudian syaitan menghalang manusia dengan cara jihad, jihad hawa nafsu dan harta, lalu syaitan bertanya: Apakah kamu akan berjihad kemudian kamu membunuh dan selepas itu berkahwin dengan wanita, dan kemudiannya membahagi harta??Sabda rasul s.a.w; manusia juga tidak mengikutinya dan berjihad.
Sabda rasulullah s.a.w: Maka sesiapa di antara mereka yang melakukan itu semua dan kemudiannya mati, Adalah Allah s.w.t berhak memasukkannya ke dalam syurga, dan sekiranya dia dibunuh, Allah s.w.t berhak memasukkanya ke dalam syurga, dan sekiranya dia tenggelam, maka Allah s.w.t memasukkannya ke dalam syurga, ataupun tunggangannya mematahkannya_mencampakkannya lalu mematahkan lehernya_adalah Allah s.w.t berhak memasukkannya ke dalam syurga”. (Al-Hafiz al-Iraqi)

- Ketujuh: Menzahirkan nasihat baik terhadap manusia

وَقَاسَمَهُمَا إِنِّي لَكُمَا لَمِنَ النَّاصِحِينَ
Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya. "Sesungguhnya saya adalah termasuk orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua", (Al-A'raaf:21)

- Kelapan: Menyuruh meminta khidmat bantuan syaitan-syaitan dari kalangan manusia
وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ وَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَيُوحُونَ إِلَى أَوْلِيَائِهِمْ لِيُجَادِلُوكُمْ وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ إِنَّكُمْ لَمُشْرِكُونَ
Dan janganlah kamu memakan binatang-binatang yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya. Sesungguhnya perbuatan yang semacam itu adalah suatu kefasikan. Sesungguhnya syaitan itu membisikkan kepada kawan-kawannya agar mereka membantah kamu; dan jika kamu menuruti mereka, sesungguhnya kamu tentulah menjadi orang-orang yang musyrik. (Al-An'aam: 121)

 

Beberapa Pintu Masuk Syaitan
 

- Pertama: Kejahilan

اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَأَنْسَاهُمْ ذِكْرَ اللَّهِ أُولَئِكَ حِزْبُ الشَّيْطَانِ أَلَا إِنَّ حِزْبَ الشَّيْطَانِ هُمُ الْخَاسِرُونَ
Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingat Allah; mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahwa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugi. (Mujadilah: 19)

- Kedua: Kemarahan

Abu Hurairah ra berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan meminta wasiat (nasihat) daripada Baginda. Lalu Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:
“Janganlah kamu marah! (Baginda mengulangnya beberapa kali dengan pesan yang sama: Janganlah kamu marah! Janganlah kamu marah! Janganlah kamu marah!” (Hadith riwayat al-Bukhari)

Cara-cara meredakan kemarahan

Pertama: Cepat-cepat beristi'azah (ta'awuz)
Kedua: Ingat pahala bersabar
Ketiga: Berdiam diri
Keempat: berfikiran keburukan kemarahan itu
Kelima: Duduk atau baring
Keenam: Ingatkan ganjaran pahala bermaafan
Ketujuh: Mengelakkan diri dari sifat cela, hina, tuduh, laknat dan cerca

- Ketiga: Cintakan Dunia

\اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. (Al-Hadid:20)

- Keempat: Angan-angan Tinggi

Abdullah ibnu Umar berkata, Rasulullah bersabda:
janganlah dirimu di dunia ini seperti anak dagang atau unta yang sesat.
Kemudian beliau melanjutkan lagi, kiranya kau berada di waktu petang, janganlah kau menunggu ketibaan pagi dan jika kamu berada di waktu pagi, janganlah kamu menunggu ketibaan petang. Pergunakanlah kesempatan sihatmu untuk sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu (HR Bukhari)

- Kelima: Tamak Haloba

Dari Ka'ab ibnu Iyaadh katanya, aku pernah mendengar Rasulullah bersabda sesungguhnya tiap-tiap umat itu ada fitnahnya dan fitnah bagi umatku ialah masalah ekonomi (harta-benda) (HR At-Tirmidzi)

- Keenam: Bakhil (Kedekut)

الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالْفَحْشَاءِ وَاللَّهُ يَعِدُكُمْ مَغْفِرَةً مِنْهُ وَفَضْلًا وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedang Allah menjadikan untukmu ampunan daripada-Nya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengatahui. (Al-Baqarah: 268)

- Ketujuh: Takabbur (Sombong)

Rasulullah bersabda, "Dianggap sebagai takbur itu ialah menolak apa yang benar dan mengganggap hina kepada orang lain". (HR. Muslim).

Bersabda Rasulullah saw kepada sahabatnya, Abu Dzar : "Takbur itu meninggalkan kebenaran dan engkau mengambil selain kebenaran. Engkau melihat orang lain dengan pandangan bahawa kehormatannya tidak sama dengan kehormatanmu, darahnya tidak sama dengan darahmu".


Rasulullah saw bertanya kepada sekumpulan Sahabat, "Tahukah kamu, orang gila yang sebenar-benarnya?" Para Sahabat menjawab, "Tidak tahu, ya Rasulullah". Lalu Rasulullah menjelaskan, "Orang gila ialah orang yang berjalan dengan takbur, memandang rendah kepada orang lain, membusungkan dada, mengharapkan syurga sambil membuat maksiat dan kejahatannya membuat orang tidak aman dan kebaikannya tidak pernah diharapkan. Itulah orang gila yang sebenarnya".


Sifat yang dimurkai dan dibenci oleh Allah Taala, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang membesarkan dirinya (takbur). (QS 16:23) Diriwayatkan : Nabi Musa a.s telah bertanya kepada Allah, "Hai, Tuhanku. Siapakah di antara makhluk-Mu yang paling Engkau murkai?". Allah Taala berfirman, mafhumnya: Orang takbur hatinya, kasar lidahnya, terkelip-kelip matanya, bakhil tangannya dan jahat perangainya"


- Kelapan Gemar Mendapat Pujian

احثوا التراب في وجوه المداحين
Ertinya: Taburkan tanah-tanah atas muka orang yang asyik memuji (HR Abu Daud, no 4170)

ن كان أحدكم مادحًا أخاه لا محالة فليقُل: أحْسَب كذا وكذا إن كان يَرى أنه كذلك، وحَسِيبُه الله، ولا يُزكِّي عَلَى الله أحدًا
Ertinya : Sekiranya ada dari kalangan kamu ingin tidak dapat untuk mengelak dari perlu memuji saudaranya, maka katakanlah : "Aku rasa akan dikira amalan sekian sekian yang dilakukannya..dan Allah akan mengiranya, dan tiadalah seorang pun yang boleh dipuji (secara pasti) kecuali Allah ( Riwayat Al-Bukhari, no 2519, 2/946)

- Kesembilan: Riya' (Suka Menunjuk-nunjuk)

Dan dari Ibnu Mas’ud dari Nabi S.a.w, baginda bersabda, “Tidak akan masuk syurga barangsiapa yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji zarah (atom) sekalipun.” Hadith Riwayat Muslim

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata, seseorang yang melakukan riya’ pada hakikatnya ia tidak melakukan firman Allah (Hanya kepadaMu aku menyembah) dan orang yang bersikap ujub (bangga pada diri sendiri) pada hakikatnya ia tidak melakukan firman Allah (Hanya kepadaMu kami mohon pertolongan) . Dan barangsiapa yang melakukan firman Allah (Hanya kepadamu kami menyembah) maka ia telah keluar dari sikap riya’, dan barangsiapa yang melaksanakan firman Allah (Hanya kepadaMu kami mohon pertolongan) maka ia telah keluar dari sikap ujub. (Majmu’ Al Fatawa 10/277)


Dan Ibnul Qayyim pula berkata, “Sesungguhnya hati manusia dihadapi oleh dua macam penyakit yang amat besar jika orang itu tidak menyedari adanya kedua penyakit itu akan melemparkan dirinya ke dalam kehancuran dan itu adalah pasti, kedua penyakit itu adalah riya’ dan takabbur. Maka ubat kepada riyak ialah (Hanya kepadaMu kami menyembah) dan ubat dari penyakit takabbur ialah (Hanya kepadaMu kami memohon pertolongan)”. (Madarijus Salikin 1/54)


Riya' Dan Ganjarannya - Terbatal semua pahala keseluruhannya


- Kesepuluh: Ujub (Berbangga)

Orang yang terkena penyakit ujub akan memandang remeh dosa-dosa yang dilakukannya dan menganggapnya bagai angin lalu. Nabi saw telah mengkhabarkan kepada kita dalam sebuah hadits: “Orang yang jahat akan melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, dengan santai dapat diusirnya hanya dengan mengibaskan tangan. Adapun seorang mukmin melihat dosa-dosanya bagaikan duduk di bawah kaki gunung yang siap menimpanya.” (HR. Al-Bukhari)

Bisyr Al-Hafi mendefenisikan ujub sebagai berikut: “Iaitu menganggap hanya amalanmu saja yang banyak dan memandang remeh amalan orang lain.”


- Kesebelas: Keluh Kesah Dan Resah Gelisah

Firman Allah di dalam Surah Al-Hadid ayat 23 iaitu:
لِكَيْ لَا تَأْسَوْا عَلَى مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا ءَاتَاكُمْ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri,
Sifat semulajadi manusia ini Allah terangkan secara terperinci dalam surah al-Ma'aarij ayat 19-35

Dari Abu Hurairah r. a katanya: 'Rasulullah s.a.w bersabda: 'Dunia Penjara Bagi Orang Mukmin dan Syurga Bagi Orang Kafir. (HR Muslim dan Tarmidzi)


- Kedua Belas: Mengikut Hawa Nafsu

وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ
..dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat darin jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan (Shaad:26)

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا
Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya? (Al-Furqan: 43)

- Ketiga Belas: Buruk Sangka

Prasangka yang membawa kepada keburukan walaupun pada mulanya ia menyangka atau berniat baik. Misalnya menambah atau mengurangkan sesuatu amal yang tiada hujjahnya dari syara, maka ia diharamkan kerana selain bertentangan dengan syara ia juga adalah bid’ah yang diharamkan. Dalilnya dapat difahami dari firman Allah Azza wa-Jalla:
وَهُمْ يَحْسَبُوْنَ اَنَّهُمْ يُحْسِنُوْنَ صُنْعًا
"Dan mereka mengira (menyangka) bahawa apa yang mereka lakukan adalah baik (kebaikan)". (Al-Kahfi:104)

عَنْ اَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اِيَّاكُمْ وَالظَّنِّ فَاِنَّ الظَّنَّ اَكْذَبُ الْحَدِيْثِ وَلاَ تَجَسَّسُوْا وَلاَ تَحَسَّسُوْا وَلاَ تَنَافَسُوْا وَلاَ تَحَاسَدُوْا وَلاَ تَبَاغَضُوْا وَلاَ تَدَابِرُوْا وَكُوْنُوْا عِبَادَ اللهِ اِخْوَانًا
"Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Aku peringatkan kamu dari prasangka sesungguhnya prasangka itu adalah bisikan yang paling bohong. Dan janganlah kamu mencari-cari rahsia (kelemahan, ke’aiban dan keburukan saudaranya), janganlah merasa-rasakan (yang bukan-bukan), janganlah kamu melakukan pertengkaran, jangan berhasad (dengki), jangan berbenci-bencian, janganlah membelakangkan (saudaramu seagama). Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara". (HR al-Bukhari)

- Keempatbelas: Memandang Rendah Terhadap Sesama Islam

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا لَا يَسْخَرْ قَومٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَى أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَى أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Al-Hujarat:11)

- Kelima Belas: Memandang Remeh Terhadap Dosa-Dosa

Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (HR Ibnu Majah).

Nabi pernah berkata Aisyah ra bahawasanya: elakkan diri kamu terlibat dosa dosa kecil kerana ianya turut mendapat perhatian Allah (HR An Nasaie, Ibnu Majah dan Ad Daarimiy)


- Keenam Belas: Berasa Damai Terhadap Balasan Azab Allah Yang Tidak Terduga

أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّهِ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ
Maka apakah mereka merasa aman dari azab Allah (yang tidak terduga-duga)? Tiada yang merasa aman dan azab Allah kecuali orang-orang yang merugi. (Al-A'raaf:99)

- Ketujuh Belas: Berputus Asa Dari Rahmat Allah

قُلْ يَاعِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Az-Zumar: 53)