Friday, May 11, 2012

Mencari kunci yang hilang

“Hmm, ke mana pulalah hilangnya kunci aku ini?” Nasrettin Hoca mengeluh.
Puas dicari  tetapi tidak ketemu.
“Mana mungkin aku menemuinya. Rumah ini sangat gelap!” beliau bermonolog.
Nasrettin Hoca ke luar rumah. Terbongkok-bongkok beliau mencari. Terus mencari.

Dalam suasana yang serba meletihkan itu, Nasrettin Hoca ditegur oleh seorang jirannya.
“Apa yang tuan cari itu?” tanya beliau.
“Aku mencari kunciku yang hilang!’ jawab Nasrettin Hoca.
“Boleh aku bantu?” tanya si jiran yang baik hati.
“Ayuh!” beliau bersetuju.
Si jiran tadi turut sama berusaha mencari kunci yang hilang. Terbongkok-bongkok menguis rumput dan kerikil di halaman. Setelah lama berusaha, terlintas di hati jiran bertanya, ” di mana tuan kehilangan kunci itu?”
“Aku kehilangannya di dalam rumah!” jawab Nasrettin Hoca.
Si jiran kaget. Ada sesuatu yang tidak kena.
“Kalau hilang di dalam rumah, mengapa tuan mencarinya di luar rumah?” tanya si jiran yang kehairanan.
“Oh, itulah masalahnya. Di dalam rumah saya keadaannya terlalu gelap. Sebab itu saya mencarinya di luar rumah” balas Nasrettin Hoca, penuh yakin.

MENCARI KUNCI YANG HILANG

Kisah ini merupakan salah satu daripada kisah yang dinisbahkan kepada Nasrettin Hoca, sebagai
sebahagian kisah berbentuk kritikal sosial semenjak era Seljuk. Sungguh menghairankan, bagaimana seseorang itu tahu bahawa beliau kehilangan sesuatu, dan benda yang hilang itu ada di dalam, dia mencarinya di luar, dengan alasan keadaan di dalam terlalu gelap.

Mungkinkah pencarian itu akan berhasil?
Mustahil.

Kitakah Nasrettin Hoca itu? Kita sedar kita bermasalah. Kita kehilangan sesuatu. Kehilangan yang menjadi punca kita hina. Bercakap tentang hak kita, mengundang ketawa ejek. Bercakap tentang silam kita, mengundang khayalan seperti tidak ‘masuk’ dengan masa depan. Lalu kita mencari-cari penyelesaian. Kita mencari di luar semasa kita sedar apa yang hilang itu ada di dalam. Semuanya kerana kita takut gelap.

Bukan gelap hakiki.

Tetapi kita menjadi kelawar yang tidak dapat melihat di dalam terang yang terlalu terang hingga menyangka kita terbang di dalam gelap.

Apa yang hilang masih ada di dalam rumah.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu:
نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما ابتغينا العزة بغيره أذلنا الله
“Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Tatkala kita mencari kemuliaan dengan selain Islam, kita akan dihina oleh Allah” [Dikeluarkan oleh Ibn Mubarak di dalam Kitab al-Zuhd]

Kunci yang hilang pada menyelesaikan masalah-masalah umat, adalah petunjuk bernama HIDAYAH.
Hidayah datang daripada Allah, apabila kita menunaikan syarat-syarat untuk hidayah itu datang.
Salah satunya adalah pada belajar mendengar dengan baik. Mendengar tanpa syarat, kemudian memilih yang terbaik. Dengar apa yang ada di luar dan di dalam. Apa kata orang, apa kata kita. Tetapi mendengar dengan telinga Ulul Albaab, seperti panduan dalaman yang disebut al-Quran:
“Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albaab” [Al-Zumar 39:18]

Hidayah bukan penyelesaian. Hidayah adalah petunjuk yang menjadi kunci untuk membuka jalan penyelesaian. Al-Quran yang ditinggalkan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam untuk membimbing kita hingga ke akhir zaman, menyediakan banyak petunjuk.

Jangan kita segera berasa ‘gelap’ tatkala tidak bertemu jawapan. Al-Quran tidak gelap. Islam tidak kelam. Apa yang perlu adalah kesungguhan kita untuk bertadabbur, bukan sekadar membaca dan kenyang berenang di permukaan.
“Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya” [Al-Nisaa' 4: 82]

Tadabbur itu berasal daripada kalimah DA-BA-RA  atau ‘DUBUR’ yang bermaksud ‘HUJUNG SESUATU’.

Tatkala Allah memerintahkan kita bertadabbur dengan ayat-ayat al-Quran, ia bermaksud kita mesti berusaha untuk sampai ke hujung makna dan mesejnya. Dalam masa yang sama siapakah yang tahu di mana hujung al-Quran? Selepas lebih seribu tahun, dengan jutaan kitab mengkaji mesej al-Quran, hujungnya masih jauh, bukan untuk dicapai tetapi untuk  dimanfaatkan semua yang kita temui di sepanjang jalan tadabbur itu.

Berdampinglah dengan al-Quran.

Hilangkan kegelapan umat ini.

Hilangkan kegelapan diri.

Pada mencari ilmu, hasil tabiat-tabiat yang baik, seperti belajar menjadi pendengar yang baik.

No comments:

Post a Comment