Showing posts with label Tafsir. Show all posts
Showing posts with label Tafsir. Show all posts

Tuesday, April 3, 2012

SURAH AL-MUZAMMIL & TAHAJJUD

Surah Al-Muzzamil (Surah ke 73) ayat 1 - 11, adalah satu formula yang sangat tepat untuk sesiapa yang dilanda cabaran hidup. Ayat ini diturunkan ketika Rasulullah (s.a.w) tertekan dengan ancaman dan cercaan orang-orang kafir.
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
  1. Wahai orang yang berselimut!
  2. Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat)
  3. Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu,
  4. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil"
  5. (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).
  6. Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya.
  7. (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;
  8. Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.
  9. Dialah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.
  10. Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.
  11. Dan biarkanlah Aku sahaja membalas orang-orang yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang yang berada dalam kemewahan dan berilah tempoh kepada mereka sedikit masa;

Antara pelajaran yang boleh kita dapati ialah:
  1. Solat tahajjud akan memberikan kita kekuatan jiwa untuk menghadapi dugaan. Rasulullah (s.a.w) juga diperintahkan oleh Allah untuk mengerjakan solat tahajjud sebagai persiapan sebelum diberi satu tugas yang sangat berat. Jika kita terasa hidup ini terlalu menekan, dan dada terasa amat terhimpit, segeralah mula untuk mengerjakan solat tahajjud dengan istiqamah. Kita akan mendapat kekuatan jiwa yang membolehkan kita menghadapi segala dugaan tersebut.

  2. Untuk mendapatkan kesannya, Quran hendaklah dibaca dengan tartil semasa solat tahajjud. Dalam perkataan lain, bacalah quran dengan sebaiknya supaya kita merasa "enjoy" dengan solat yang dilakukan. Sekiranya solat dilakukan dengan rasa terpaksa, besar kemungkinan ia tidak akan dapat memberi kita kekuatan yang diperlukan untuk menghadapi dugaan hidup.

  3. Sekiranya kita selalu dicerca atau dikritik sedangkan kita adalah dipihak yang benar, maka hadapilah kritikan tersebut dengan cara yang baik, dan sebutlah nama Allah, atau sebutlah "Ya Allah" dengan lidah mahupun hati sebanyak-banyaknya. Tak perlulah risaukan kata-kata manusia, tapi fokuslah kepada Allah. Apabila kita melakukan seperti ini, maka Allah lah yang akan membalas perbuatan orang-orang yang mencerca anda.

Sunday, April 1, 2012

30/03/2012: SURAH AL-KAFIRUN

Tempat: Lambak



1. Katakanlah: "Hai orang-orang kafir
2. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah
3. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah
4. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah
5. dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah
6. Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku."



Surat Al Kaafiruun terdiri atas 6 ayat, termasuk golongan surat-surat Makkiyyah, diturunkan sesudah surat Al Maa'uun. Dinamai Al Kaafiruun (orang-orang kafir), diambil dari perkataan Al Kaafiruun yang terdapat pada ayat pertama surat ini.

Pokok-pokok isinya:
Pernyataan Tuhan yang disembah Nabi Muhammad s.a.w. dan pengikut-pengikutnya bukanlah apa yang disembah oleh orang-orang kafir, dan Nabi Muhammad s.a.w. tidak akan menyembah apa yang disembah oleh orang-orang kafir.



ASBABUN NUZUL SURAH AL-KAFIRUN

Dalam suatu riwayat dikemukakan bahwa kaum Quraisy berusaha mempengaruhi Nabi saw. dengan menawarkan kekayaan agar beliau menjadi seorang yang paling kaya di kota Makkah, dan akan dikawinkan dengan yang beliau kehendaki. Usaha ini disampaikan dengan berkata: "Inilah yang kami sediakan bagimu hai Muhammad, dengan syarat agar engkau jangan memaki-maki tuhan kami dan menjelekkannya, atau sembahlah tuhan-tuhan kami selama setahun." Nabi saw menjawab: "Aku akan menunggu wahyu dari Tuhanku." Ayat ini (S.109:1-6) turun berkenaan dengan peristiwa itu sebagai perintah untuk menolak tawaran kaum kafir. Dan turun pula Surat Az Zumar ayat 64 sebagai perintah untuk menolak ajakan orang-orang bodoh yang menyembah berhala. (Diriwayatkan oleh at-Thabarani dan Ibnu Abi Hatim yang bersumber dari Ibnu Abbas.)

Dalam riwayat lain dikemukakan bahwa kaum kafir Quraisy berkata kepada Nabi saw.: "Sekiranya engkau tidak keberatan mengikuti kami (menyembah berhala) selama setahun, kami akan mengikuti agamamu selama setahun pula." Maka turunlah Surat Al Kafirun (S.109:1-6).(Diriwayatkan oleh Abdurrazaq yang bersumber dari Wahb dan Ibnul Mundzir yang bersumber dari Juraij.)

Dalam riwayat lain dikemukakan bahwa al-Walid bin al-Mughirah, al-'Ashi bin Wa-il, al-Aswad bin Muthalib dan Umayyah bin Khalaf bertemu dengan Rasulullah saw dan berkata: "Hai Muhammad! Mari kita bersama menyembah apa yang kami sembah dan kami akan menyembah apa yang engkau sembah dan kita bersekutu dalam segala hal dan engkaulah pemimpin kami." Maka Allah menurunkan ayat ini (S.109:1-6) (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim yang bersumber dari Sa'id bin Mina.)


HURAIAN

Orang-orang Arab tidak mengingkari kewujudan Allah, tetapi mereka hanya tidak mengetahui hakikat Allah seperti yang diterangkan oleh Allah sendiri, iaitu bersifat Tunggal dan selama-lamanya menjadi Tumpuan Seluruh Makhluk, kerana itu mereka mempersekutui Allah (syirik), mereka tidak meletakkan Allah pada martabat-Nya yang sebenar dan tidak beribadat kepada-Nya dengan ibadat yang sebenar. Mereka mempersekutui Allah dengan berhala-berhala yang melambangkan tokoh-tokoh yang soleh dan tokoh-tokoh pembesar dan datuk nenek mereka atau berhala-berhala yang melambangkan malaikat-malaikat yang dianggap mereka sebagai anak-anak perempuan Allah, demikian juga mereka percaya bahawa antara Allah dengan jin ada hubungan keturunan, atau mereka menyembah tuhan-tuhan itu sedangkan mereka lupakan perlambangan-perlambangan ini. 
Dalam keadaan-keadaan ini, tuhan-tuhan itu disembah mereka dengan tujuan supaya tuhan-tuhan itu dapat memperdekatkan mereka dengan Allah sebagaimana al-Qur'an menceritakan perkataan mereka dalam Surah Az-Zumar 39:3

39:3

 Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya", - sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).

Al-Qur'an menceritakan bahawa mereka juga mengiktiraf Allah sebagai Pencipta langit dan bumi, mengendali matahari dan bulan dan menurunkan hujan dan langit sebagaimana tersebut dalam Surah al-Ankabut (Surah 29):
 
29:61

61. "Dan jika engkau bertanya mereka siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan mengendalikan matahari dan bulan, nescaya mereka menjawab; "Allah"

 
29:62

 63. "Dan jika engkau bertanya siapakah yang menurunkan air hujan dari langit dan menghidupkan bumi dengannya selepas matinya (tandusnya), nescaya mereka menjawab; "Allah". 

Dalam sumpah-sumpah mereka, mereka berkata: "Demi Allah" dan dalam doa mereka, mereka berkata:"Wahai Allah". Tetapi walaupun mereka beriman kepada Allah, namun kepercayaan syirik telah merosakkan pemikiran mereka sebagaimana mereka dirosakkan oleh adat-resam dan syi'ar-syi'ar traditional mereka. Mereka memperuntukan satu bahagian dari hasil-hasil tanaman dan ternakan kepada tuhan-tuhan yang didakwakan mereka dan satu bahagian dari anak-anak mereka sehingga peruntukkan itu kadang-kadang membawa kepada membunuh anak-anak mereka. Hal ini telah diterangkan oleh al-Qur'anul Karim dalam Surah Al-An'am (surah 6)


6:136


136. "Dan mereka telah memperuntukkan kepada Allah sebahagian dari tanaman dan ternakan yang telah diciptakan Allah lalu mereka berkata mengikut sangkaan karut mereka: 'Ini untuk Allah dan ini pula untuk sembahan-sembahan kami." Maka bahagian yang diperuntukkan kepada sembahan mereka tidak sampai kepada Allah dan bahagian yang diperuntukkan kepada Allah sampai kepada sembahan-sembahan mereka. Alangkah buruknya apa yang diputuskan mereka." 
(Maksudnya mereka membuat peruntukan sebahagian untuk Allah dan bahagian Ini dibelanjakan kepada fakir-fakir miskin dan kebajikankebajikan sosial yang lain, dan bahagian untuk sembahan-sembahan mereka diberikan kepada penjaga-penjaga berhala.

Dalam amalan mereka, apa yang menjadi bahagian Allah boleh diberikan kepada berhala-berhala dan apa yang menjadi bahagian berhala-berhala itu tidak boleh diberi kepada
Allah iaitu diberikan kepada fakir miskin atau kebajikan-kebajikan sosial yang lain.)


6:137

137. "Demikianlah juga ketua-ketua mereka telah menjadikan sebilangan ramai daripada orang Musyrikin memandang baik membunuh anak-anak mereka untuk membinasakan mereka dan mengelirukan mereka dan mengelirukan agama mereka. Dan andainya Allah menghendaki, nescaya mereka tidak berbuat begitu, kerana itu tinggalkan mereka dan perbuatanperbuatan yang diada-adakan mereka." 
(Mereka memandang baik membunuh anak-anak mereka dengan alasan mendekatkan diri kepada Allah sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s.)  

6:138

138. "Dan mereka berkata: Inilah ternakan-ternakan dan tanaman-tanaman yang terlarang, yang tidak boleh dimakan melainkan oleh sesiapa yang kami kehendaki sahaja mengikut anggapan mereka, juga ternakan-ternakan yang diharamkan menunggangnya dan ternakan-ternakan yang tidak mereka sebutkan nama Allah ketika menyembelihkannya. Allah akan membalas mereka dengan sebab pembohongan yang diada-adakan mereka." 

6:139

139. "Dan mereka berkata lagi: Anak-anak yang ada dalam perut binatang binatang ternakan itu adalah khusus untuk kaum lelaki kami dan diharamkan kepada para wanita kami, tetapi jika anak dalam perut dilahirkan mati, maka lelaki dan wanita sama-sama boleh memakannya.'  Allah akan membalas mereka terhadap keputusan yang dibuat mereka.  Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui." 

6:140

140. "Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang telah membunuh anak anak mereka kerana bodoh tanpa ilmu pengetahuan dan mengharamkan rezeki yang telah dikurniakan Allah kepada mereka, kerana membuat pembohongan di atas Allah. Sesungguhnya mereka telah sesat dan mereka tidak mendapat hidayah." 

Mereka menganggap diri mereka mengikut agama Ibrahim dan mereka lebih betul atau lebih mendapat hidayah daripada kaum Ahli Kitab yang hidup bersama-sama mereka di Semenanjung Tanah Arab, kerana orang-orang Yahudi menganggapkan 'Uzayr putera Allah dan orang-orang Nasara menganggapkan 'Isa putera Allah, sedangkan mereka sendiri
menyembah malaikat dan jin dengan anggapan bahawa malaikat dan jin itu mempunyai hubungan yang dekat dengan Allah menurut sangkaan mereka yang karut, oleh itu mereka mengira diri mereka lebih betul atau lebih mendapat hidayah dari kaum ahli Kitab, kerana bagi mereka hubungan malaikat dan jin dengan Allah lebih dekat daripada hubungan 'Uzayr dan
'Isa. Tetapi semua kepercayaan itu adalah syirik belaka dan di sana tiada syirik yang lebih baik atau terpilih.

Apabila Nabi Muhammad s.a.w. datang dan menerangkan kepada mereka bahawa agamanya ialah agama Ibrahim a.s., mereka pun berkata: Kami juga mengikut agama Ibrahim. Oleh itu apakah perlunya bagi kami meninggalkan agama kami untuk mengikut Muhammad? Serentak dengan itu juga mereka berusaha memujuk Rasulullah s.a.w. supaya mempersetujui
satu jalan tengah di antaranya dengan mereka iaitu mereka mencadang supaya Muhammad bersetuju menyembah tuhan-tuhan mereka sebagai balasan mereka menyembah Tuhan Muhammad, juga supaya Muhammad tidak mengkritik tuhan mereka dan 'amal 'ibadat mereka. Mungkin kerana kekacauan kepercayaan mereka dan kerana pengiktirafan mereka terhadap Allah di samping mereka menyembah tuhan-tuhan yang lain, mungkin kerana inilah mereka merasa jarak di antara mereka dengan Muhammad itu amat dekat iaitu boleh dicari jalan persefahaman dengan membahagi negeri kepada dua zon dan mencari jalan tengah di samping memenuhi setengah setengah kehendak peribadi. 
Untuk menghapuskan kekeliruan ini dan memotong segala usaha untuk mencari tolak ansur dan seterusnya untuk meletakkan garis pemisah yang tegas di antara 'ibadat mereka dengan 'ibadat Islam, di antara sistem mereka dengan sistem Islam dan di antara pemikiran mereka dengan pemikiran Islam, maka surah ini diturunkan sedemikian tegas dan sedemikian berulang-ulang untuk menolak segala usaha tawar menawar dan meletakkan garis pemisah yang muktamad di antara Tauhid dengan syirik, dan menegakkan tanda-tanda perbezaan yang jelas yang tidak menerima tawar menawar dan tidak boleh dipertikaikan lagi sedikit atau banyak. 

Dalam ayat-ayat ini terdapat penafian selepas penafian, penegasan selepas penegasan, penekanan selepas penekanan. Ia menggunakan segala uslub penafian, penegasan dan penekanan. Maksud Qul "Katakanlah" ialah suatu perintah Ilahi yang tegas yang membayangkan bahawa persoalan 'aqidah adalah urusan Allah yang Maha Tunggal, sedangkan Nabi Muhammad s.a.w. tidak punya sesuatu pun dalam urusan ini. Allah jua yang
memerintah dan menghukum, perintah dan hukum-Nya tidak boleh ditolak. 

1. Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir.
Allah menyeru mereka dengan hakikat diri mereka yang sebenar dan menyifatkan mereka dengan sifat-sifat mereka yang sebenar iaitu mereka bukan berada di atas agama yang benar, mereka bukan orang-orang mu'min malah mereka adalah orang-orang yang kafir. Tiada titik pertemuan di antara engkau dengan mereka. Ayat pertama ini menerangkan hakikat perpisahan yang tidak mungkin bertemu. 

2. Aku tidak sembah apa yang kamu sembah.
Maksudnya, kerana itu 'ibadatku tidak sama dengan 'ibadat kamu Tuhanku tidak sama dengan tuhan kamu.

3. Dan kamu bukannya penyembah-penyembah Tuhan yang aku sembah.
Maksudnya, kerana itu 'ibadat kamu tidak sama dengan 'ibadatku dan tuhan kamu tidak sama dengan Tuhanku.  

4. Dan aku bukannya penyembah tuhan yang kamu sembah.
Ini ialah ayat penguat bagi ayat yang pertama. 

5. Dan kamu juga bukannya penyembah-penyembah Tuhan yang aku sembah.  
Ayat ini merupakan ulangan untuk menguatkan ayat yang kedua supaya tidak ada ruang lagi bagi sebarang kekeliruan setelah ditegas dan diulang dengan segala cara penegasan dan ulangan. 

6. Untuk kamu agama kamu dan untukku agamaku.
Ayat ini merupakan kesimpulan dari hakikat perpisahan yang tidak mungkin bertemu dan hakikat perbezaan yang tidak mungkin dicampuradukkan. Aku di sini kamu di sana, tiada jambatan, tiada titian dan tiada jalan yang menghubungkan di antara kita. Satu perpisahan yang syumul dan satu perbezaan yang amat jelas dan halus. Perpisahan ini adalah perlu untuk menjelaskan tanda-tanda perbezaan yang pokok yang mustahil dapat diadakan pertemuan di antara kedua-duanya di tengah jalan, iaitu perbezaan dalam asas i'tiqad, dasar pemikiran, hakikat sistem hidup dan tabiat agama. Tauhid merupakan satu sistem dan syirik merupakan satu sistem yang lain pula. Kedua-duanya tidak mungkin bertemu. 
Tauhid satu sistem yang membawa manusia dan 'alam seluruhnya kepada Allah yang Tunggal, tiada sekutu bagi-Nya. Ia menentukan sumber tempat manusia menerima 'aqidahnya, syari'atnya, nilai-nilai dan ukurannya, adab sopan dan akhlaknya, pandangan-pandangannya terhadap hidup dan 'alam. Sumber yang diterima oleh orang Mu'min itu ialah Allah yang Tunggal tiada sekutu bagi-Nya. Seluruh hidupnya ditegakkan di atas asas ini tanpa bercampur dengan sebarang bentuk syirik sama ada zahir (kasar) atau pun khafi (halus). 

Perpisahan yang jelas ini perlu kepada para penda'wah dan kepada mereka yang dida'wah. Kepercayaan-kepercayaan Jahiliyah telah bercampuraduk dengan kepercayaan-kepercayaan keimanan yang benar terutama pada kumpulan-kumpulan manusia yang telah mengenal  'aqidah yang benar, kemudian menyeleweng darinya.  Kumpulan-kumpulan manusia seperti ini adalah paling degil untuk kembali beriman dalam bentuknya yang bersih dari sebarang penyelewengan. Mereka lebih degil dari kumpulan manusia yang tidak pernah mengenal 'aqidah yang benar.  Mereka merasa diri mereka di atas jalan yang benar, sedangkan mereka sebenarnya sesat dan menyeleweng.

Di antara kedua-duanya dipisahkan oleh satu perbezaan yang jauh. Satu-satunya jalan ialah keluar dari keseluruhan Jahiliyah dan masuk ke dalam keseluruhan Islam atau tinggalkan Jahiliyah dengan segala apa yang ada padanya dan pindah ke dalam Islam dengan segala apa yang ada padanya.

Thursday, March 15, 2012

Surah Ad-Dhuha (93)

Surah ini merupakan surah makkiyah. Turun ketika Nabi SAW sedang bersendirian. Surah ini turun setelah berlaku suatu tempoh masa tiadanya wahyu baru yang turun kepada baginda sehingga menimbulkan fitnah di kalangan penduduk di Kota Makkah.

Hadith daripada Jundub RA, ia berkata, bahawasanya Rasulullah SAW telah tidak bangun untuk berqiyamullail selama 1 atau 2 malam. Kemudian telah datang kepada baginda seorang wanita seraya bertanya, "Bagaimanakah syaitanmu wahai Rasulullah?" Nabi SAW diam. Setelah itu Allah telah menurunkan surah Ad-Dhuha sebagai jawapan kepada wanita tersebut. [Muttafaqun Alaih]

Dalam hadith yang lain pula, Ibn Abbas RA berkata, bahawasanya Ummu Jamil (isteri Abu Lahab) telah berkata, "Malaikat dan wahyu sudah tidak turun lagi. Tuhan telah memutuskan hubungan dengan dia". kemudian Ummu Jamil telah menyebarkan perkara tersebut ke khalayak ramai. Akibatnya Rasulullah SAW berasa susah hati. Lalu Allah telah menurunkan Surah Ad-Dhuha.

Ayat 1:
Maksudnya - Demi waktu DhuhaPenjelasan :
  • Allah bersumpah dengan waktu Dhuha (waktu naik matahari)

  • Allah bersumpah pada waktu Dhuha kerana Ummu Jamil telah menyebarkan fitnahnya tentang pemberhentian wahyu pada waktu-waktu tersebut.


Ayat 2:
Maksudnya - Dan demi malam apabila telah sunyi
Penjelasan :
  • Allah bersumpah dengan waktu malam (apabila ia menjadi gelap)

  • Kerana telah bertanya wanita dalam hatith pertama tadi tentang waktu malam baginda.


Ayat 3:
Maksudnya - Tuhanmu tiada meninggalkanmu dan tiada (pula) benci padamu
Penjelasan :
  • Allah tidak sekali-kali meninggalkan Rasulullah SAW bersendirian sewaktu fitnah-fitnah terebut melanda.

  • Allah bersumpah bahawa Allah tidak meninggalkan Rasulullah SAW pada waktu Dhuha ataupun waktu malam.

  • Allah menyayangi dan menjaga baginda sejak dari dalam kandungan hinggalah pada ketika surah itu diturunkan.


Ayat 4:
Maksudnya - Dan sesungguhnya akhir itu lebih baik bagimu daripada permulaan
Penjelasan :
  • Allah menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai Pemimpin Agung di dunia dan di akhirat.


Ayat 5:
Maksudnya - Dan kelak tuhanmu pasti memberikan kurnianya kepadamu lalu hati kamu menjadi puas.Penjelasan :
  • Akan diberikan kepada Rasulullah SAW (di akhirat) segala nikmat yang paling besar yakni boleh mensyafaatkan sekalian manusia dan juga sungai Al-Kautsar di dalam syurga.


Ayat 6:
Maksudnya - Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang anak yatim, lalu Dia melindungimu.
Penjelasan -
  • Allah telah mengurniakan Nabi SAW dengan ibu-ibu susuan dan orang-orang yang mendidik baginda sewaktu ibu baginda masih hidup.
  • Setelah kewafatan ibu baginda, Allah telah mengirimkan orang-orang yang menjaga Nabi Muhammad SAW sehingga dewasa. (Abdul Mutalib, Abu Talib)


Ayat 7:
Maksudnya - Dan Dia mendapatimu sebagai orang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk.
Penjelasan -
  • Muhammad bukanlah tergolong dalam golongan Nabi dan Rasul sehinggalah umur Baginda 40 tahun, 2 bulan, 12 hari.
  • Setelah tiba masanya, Allah melantik Muhammad Bin Abdullah sebagai seorang Rasul.
  • Ini bermakna Allah telah menaikkan darjat baginda sebagai seorang Nabi dan Rasul.


Ayat 8:
Maksudnya - Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupanPenjelasan -
  • Nabi Muhammad SAW lahir dalam keluarga yang sangat susah lalu Allah menjadikan Nabi seorang yang kaya.
  1. Dengan kurniaan Agama Islam
  2. Dengan terbentuknya sebuah Negara Islam
  3. Dengan perkahwinan baginda denag seorang saudagar yang kaya raya (Siti Khadijah).
  4. Mempunyai para sahabat yang jujur dan ikhlas dalam memperjuangkan Agama Islam.
  5. Dikurniakan segala kenikmatan syurga.


Ayat 9:
Maksudnya - Adapun terhadap anak yatim maka janganlah diambil hartanya.


Ayat 10:
Maksudnya - dan terhadap orang yang meminta-minta, janganlah kamu mengherdiknya

Ayat 11:
Maksudnya - Dan terhadap nikmat tuhanmu maka hendaklah kamu sentiasa bersyukur

Surah Ad-Dhuha paling afdhal dibaca ketika solat Dhuha.

Fadhilat surah Ad-Dhuha
  • Mengeratkan hubungan dengan Allah SWT
  • Mendapat kemudahan hidup
  • Dikabulkan permintaan
  • Untuk menenangkan jiwa dari kesedihan dan kekacauan.