Friday, April 6, 2012

06/04/2012: TO BE A MUSLIM

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh....

Kita dilahirkan di dalam keadaan beragama islam, dibesarkan dalam suasana islam, diberi didikan islam... akan tetapi adakah itu bererti kita seorang islam???

Kita diajar islam akan tetapi kita tidak menyerapkannya dalam kehidupan kita...

Islam tidak berhenti dengan mengucapkan kalimah syahadah, sembahyang, berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji.... Islam adalah seluruh kehidupan kita...


2:208


 Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.[2:208]


Islam bukan hanya sekadar agama. Islam adalah jalan hidup kita menuju puncak kebahagiaan di dunia dan akhirat. Dan ketika kita sudah bersyahadat, isytiharkan diri sebagai orang Islam, maka sebagai kesinambungannya kita wajib menjadikan Islam sebagai cara hidup dan panduan untuk melangkah.

Ia termasuk bagaimana kita berpakaian, berniaga, berpolitik, berumah tangga, berhubung sesama manusia. Semua kena ikut cara tuhan bukannya ikut cara kita.

Sebaik mana pun peta yang kita miliki, secanggih apapun kompas yang kita pegang, tetapi kalau kita tak tahu menggunakannya boleh jadi peta dan kompas itu menjadi tidak berharga lagi bagi kita.

Islam pun begitu, dalam setiap solat, kita memohon kepada Allah: “Ya Allah tunjukkan kami jalan yang lurus, jalan para anbia, jalan para syuhada, jalan orang-orang yang mendapat redanya.”

Tetapi kita tidak atau kurang menyedari bahawa apa yang kita minta itu sesungguhnya ada di hadapan kita iaitu al-Quran dan Sunnah.

Ini adalah peta kehidupan yang dibuat oleh Allah untuk memandu kita menapak setiap jengkal langkah kita dalam menjalani kehidupan ini.

Al-Quran dan Sunnah adalah kompas yang dijamin seratus peratus benar dan tepat oleh Allah. Setiap solat kita memohon diberi petunjuk ke jalan yang lurus, padahal petunjuk kepada jalan yang lurus itu sudah ada. Hanya kita yang tidak atau belum boleh memahaminya.

Kita tidak akan dapat memahami dan menggunakan al-Quran dan Sunnah sebagai pedoman dan panduan hidup kita. Ibarat hari ini kita merasa belum lengkap seperti tidak lagi membaca e-mel, maka kita mesti gelisah jika kita masih belum baca Al-Quran.

Begitu juga rasa tidak selesa kita kalau tidak bersembang sehari, asyik tunggu mesej saja, asyik tengok telefon saja, tetapi Al-Quran kenapa kita tidak tengok dan baca.

Kalau hari ini kita merasa belum lengkap kerana belum mengemas kini status facebook, sepatutnya juga kita berasa cemas kalau kita belum ‘mengemas kini’ bacaan Al-Quran kita.

Kalau hari ini kita merasa belum lengkap kerana belum dapat membaca SMS teman, maka semestinya kita lebih cemas ketika kita belum membaca ‘pesanan’ Allah yang terakam dalam Al-Quran.

Jadi tidak hairanlah kalau masih ramai orang Islam yang lahir dari rahim Islam, dibesarkan dalam lingkungan Islam, sekolah Islam, kuliah Islam tetapi masih tidak boleh membaca Al-Quran, apalagi untuk menggunakannya sebagai panduan dalam kehidupannya.

Sebagai seorang Muslim kita perlu tahu, faham dan mengerti apa itu Islam dan bagaimana menggunakannya dalam kehidupan kita.

Salah satu caranya dengan membaca dan memahami al-Quran iaitu menjadikan al-Quran sebagai menu wajib bagi kita untuk dalam melalui hari-hari dalam kehidupan kita apa lagi kita sudah dekat dengan bulan al-Quran.

Contohilah Nabi s.a.w. dan para sahabat-sahabat Nabi s.a.w.... betapa sangat patuh dan taatnya mereka kepada perintah Allah sehingga Allah mengangkat mereka menjadi golongan yang sangat dimuliakan di dunia dan akhirat....

Maka marilah kita cuba untuk berhijrah ke arah islam yang sebenar....

4:100

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.[4:100]

No comments:

Post a Comment