Dan juga orang-orang yang
apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka
segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan
sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan
mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan
itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
Orang-orang yang demikian
sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan
Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di
dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi)
orang-orang yang beramal.
Surah Al-Imran 3:135-136
Tertulis disekitar Arasy sebelum di ciptakannya Adam a.s. empat ribu tahun. " Sesungguh Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman dan berbuat baik." [Tanbihul Ghafilin].
Telah diriwayatkan:
Bahawa sesungguhnya Jibril as. telah datang kepada Nabi SAW., maka berkata: "Hai Muhammad, sesungguhnya Allah SWT mengirim salam kepadamu dan berfirman: "Barangsiapa bertaubat dari umatmu, sebelum meninggal tempoh setahun, maka diterima taubatnya."
Nabi SAW. bersabda: "Hai Jibril, satu tahun bagi umatku itu lama, sebab kebiasaannya lengah dan banyak angan-angan atau keinginannya."
Maka Jibril as. pergi kemudian datang lagi dan berkata: "Hai Muhammad, sesungguhnya Tuhanmu berfirman: Barangsiapa bertaubat sebelum meninggal tempoh sebulan, maka diterima taubatnya." Nabi SAW. bersabda: Hai Jibril sebulan bagi umatku itu lama.
Maka Jibril as. pergi kemudian datang lagi: Hai Muhammad sesugguhnya Tuhanmu berkata: Barangsiapa bertaubat sebelum meninggalkan tempoh satu hari, maka diterima taubatnya. Nabi SAW. bersabda: Hai Jibril, satu hari bagi umatku itu lama.
Maka Jibril as. pergi kemudian datang lagi dan berkata: Hai Muhammad, sesungguhnya Tuhanmu berfirman: Barangsiapa bertaubat sebelum meninggal dalam tempoh satu jam, maka diterima taubatnya. Nabi SAW. bersabda lagi: Hai Jibril satu jam pun bagi umatku itu lama.
"Hai Muhammad sesungguhnya Tuhanmu mengirim salam kepadamu dan berfirman: Barangsiapa seluruh umurnya dalam derhaka dan belum kembali kepadaKu melainkan sebelum meninggalnya dalam tempoh satu tahun, atau satu bulan atau satu hari atau satu jam, sehingga rohnya sudah sampai ditenggorok (kerongkong) dan tidak mungkin berkata, atau beralasan dengan lisan dan menyesali dengan hatinya, sungguh Allah telah mengampuninya"
[Al-Hadith][Zubdatul-Wa'izdina].
No comments:
Post a Comment