Friday, March 23, 2012

23/03/2012: Berinteraksi dengan Quran part 2

KENAPA AL-QURAN DALAM BAHASA ARAB??

Sebab…… B.Arab adalah bahasa istimewa. Ia banyak kelebihannya berbanding dengan bahasa-bahasa yang lain.
Hebatnya B.Arab

Dalam ilmu B.Arab ada ilmu Nahu, Sorof, Balaghah, Bayan, Ma’ani, Badi’ dan lain-lain seperti sya’ir Arab dan perumpamaan Arab.

Ilmu Nahu – mengkaji bentuk kata dan kata terbitan.(Grammar)
Ilmu Sorof – mengkaji perubahan perkataan dalam B.Arab( penambahan huruf tertentu atau baris yang memberi makna yang berbeza)
Ilmu Balaghah – ilmu Retorik, iaitu kesenian gaya bahasa yang boleh mempengaruhi pemikiran pendengar. Ia berkesan untuk penuturan dan penulisan.( Antonasi dalam perkataan;dalam keadaan marah,sedih, gembira, dll)

Pendengar dan Pembaca

Pendengar akan mengetahui keadaan sesuatu perkataan itu melalui antonasi suara pengucap kata-kata itu. B.Melayu perlu ada antonasi ini untuk mengetahui keadaan situasi ketika itu.  

TETAPI B.Arab….dengan melihat kepada perkataan itu sahaja telah dapat mengetahui keadaan situasi ketika itu sama ada ia marah…. atau memerintah….atau menyindir….ataupun memuji.

Apa yang perlu kita buat?

Kita kena bersungguh-sungguh belajar B.Arab.

Orang yang memahami B.Arab akan mengatakan; Membaca terjemahan sahaja tidak memadai untuk menjiwai al-Quran. Seperti ada sesuatu yang kurang/tak kena.

Kita hendaklah mempelajari B.Arab supaya setiap ayat yang dibaca dari al-Quran difahami secara terus sehingga memberi kesan dihati. Sehingga Hati yang terkesan itu dapat menguasai diri kita dengan cara yang betul iaitu mengikut pandangan dan perkiraan Allah swt.


MENGHAYATI AL-QURAN DENGAN HATI

Al-Quran diturunkan untuk HATI.  Kenapa bukan OTAK??? Kerana otak kita hanya dapat memproses data yang masuk. Ia tidak dapat merasai(feel) sesuatu apa pun yang masuk kedalamnya. Untuk merasai(feel) sama ada rasa sedih, hebat, geram dll kita perlu menggunakan HATI.  


Cara kita berfikir, menerima sesuatu juga berbeza dari seorang ke seorang... akan tetapi perasaan atau rasa sama.... sesuatu yang membuat org marah akan membuat kita marah... sesuatu yg boleh menggembirakan, kita semua akan merasa gembira....

Begitu lah dengan al-Quran. Kita sepatutnya menggunakan hati yang berperasaan ini semasa membaca al-Quran. Nanti akan tampaklah linangan air mata……mungkin kerana insaf, menyesal, takjub atau pun bersyukur dengan kemurahan Allah swt terhadap hamba-hambaNya. Ingin merasai syahdu dan sayu apabila membaca al-Quran. Hati telah terkesan. Sekeras-keras batu, lambat laun lekuk juga dik titisan air ke atas batu itu. Begitu juga penyucian hati……..perbanyakkan membaca al-Quran(Dengan kaedah yang betul), lambat laun hati kan putih bersih dengan cahaya al-Quran. InsyaAllah…..

MENGETAHUI LATAR BELAKANG AL-QURAN

i. Kenapa al-Quran diturunkan secara munajjaman?Apa maksud munajjaman?
Munajjaman bermaksud al-Quran itu diturunkan secara beransur-ansur kepada Junjungan Besar Rasulullah saw mengikut keadaan semasa.

Kenapa tidak diturunkan secara sekali gus?
Untuk memberi kesan yang mendalam kepada penerimanya yang bersangkutan atau berkaitan dengan keadaan ketika itu.

ii. Peristiwa yang berlaku adalah secara fizikal dan emosional 

Al-Quran diturunkan mengikut peristiwa-peristiwa semasa termasuk peristiwa secara fizikal atau secara emosional.

Peristiwa fizikal seperti peristiwa melibatkan peperangan, perjanjian, pembukaan empayar Islam dan lain-lain yang seumpama.

Peristiwa emosional ialah peristiwa yang melibatkan perasaan.

Contoh 1:
إِنَّنِىٓ أَنَا ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنَا۟ فَٱعۡبُدۡنِى وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِڪۡرِىٓ
“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.” – (Thaahaa : 14)

Ayat di atas adalah wahyu pertama yang diterima oleh Nabi Musa.(Tafsiran ayat ini sangat mendalam berkait dengan aqidah, boleh rujuk tafsiran) Di zaman Rasulullah saw, ayat ini ada perkaitan dengan pengIslaman Saidina Umar Ibni al-Khattab.

Saidina Umar yang garang sebelum Islam telah diberitakan oleh Nuim bahawa adiknya Fatimah dan suaminya(iparnya) telah memeluk agama Islam yakni musuh agamanya. Lantas dengan segera Sadina Umar mendapatkan mereka yang sedang membincangkan surah Thaahaa ini. Berlaku perbalahan sehingga adiknya Fatimah ditampar olehnya dengan kuat sehingga berdarah. Melihat adiknya sendiri cedera hingga berdarah, timbul rasa kesal di hatinya terus berseru;
“Berikan daku kitab yang bersama kamu itu untuk ku menatapnya.”
“Kau kotor, ayatnya bersih dan tidak boleh disentuh kecuali orang yang bersih. Ayuh, pergi bersuci dahulu.”Adiknya berkata.


Saidina Umar pun bangun dan bersuci. Kemudian membaca surah Thaaha hingga ayat 14 ini. Beliau mengkagumi kata-katanya dan memuliakannya. Lantas bertanyakan dimanakah Muhammad saw. Rupa-rupanya Allah swt telah memakbulkan doa Rasulullah saw yang berbunyi “Ya Allah Ya Tuhanku perkukuhkanlah Islam dengan Umar al-Khattab atau Abu Jahal Ibnu Hisham.”


Contoh 2;

Penurunan ayat ad-Dhuha.
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِDengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
وَٱلضُّحَىٰ (١)Demi waktu Duha
وَٱلَّيۡلِ إِذَا سَجَىٰ (٢)Dan malam apabila ia sunyi-sepi.
مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَىٰ (٣) Tuhanmu tidak meninggalkanmu dan Dia tidak benci.


Apakah cerita disebalik penurunan ayat ini? (latarbelakangnya)
Sebenarnya pada suatu ketika wahyu lambat diturunkan kepada Baginda Rasulullah saw. Ini menyebabkan keresahan, sedih, dan tertanya-tanya kenapa malaikat Jibril tidak menurunkan wahyu kepada Baginda. Dikala ini juga kaum Musyrikin mengambil kesempatan mengejek-ngejek Rasulullah saw bahawa Beliau telah ditinggalkan Tuhannya.

Selang beberapa ketika surah Dhuha ini turun. Allah swt menyampaikan bahawa Allah tidak meninggalkan Rasulullah saw. Dan tidak membenci Baginda. Sebaliknya menyayanginya. Keresahan Rasulullah saw terubat, betapa gembiranya Baginda dengan penurunan ayat ini.
Bila kita baca ayat ini, kita pun tumpang bergembira……………

Ini bermakna kita perlu tahu ASBABUN NUZUL(sebab-sebab turunnya sesuatu ayat). Tapi tidak semua ayat ada asbabun nuzulnya. Ia diturunkan mengikut suasana keadaan ketika itu yang kita panggil mulabasat al-Quran.

Contohnya;
Al-Quran diturunkan selama 23 tahun, 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. Dalam tahun-tahun ini ada fasa-fasa suasana keadaan ketika itu.

Zaman Mekkah:
Ada 3 fasa,
Fasa 1 : 3 tahun pertama, dakwah secara sembunyi(sir)
Fasa 2 : 7 tahun kemudiannya, dakwah secara terang-terangan. Fasa yang paling banyak
ujian dan seksaan.
Fasa 3 : 3 tahun terakhir, seruan Islam keluar Mekkah.
Jadi, dalam zaman Makkah ada 3 fasa, penurunan ayat adalah mengikut feel keadaan bagi setiap fasa. Bila kita baca al-Quran, kita akan dapat feel ayat tersebut kerana kita tahu keadaan suasana(mulabasat) ayat tersebut. Secara umumnya ayat yang turun zaman ini adalah berkisar kepada pengubahan aqidah umat.

Zaman Madinah:
Ada 2 fasa,
Fasa 1 : 5 thn pertama dakwah secara defensive iaitu umat Islam telah diserang oleh musuh, maka mereka lebih kepada
mempertahan diri. Peperangan yang terlibat seperti perang Badar, perang Uhud, perang Khandak dan lain-lain.
Fasa 2 : 5 thn akhir dakwah secara offensive iaitu berlaku pembentukan kerajaan Islam dan umat Islam mula mengembangkan wilayahnya. Peperangan yang terlibat seperti peperangan Hunain, peperangan Tabuk dan lain-lain.
Secara umumnya kita tahu ayat-ayat yang turun di zaman ini berkaitan dengan hukum hakam.
Sebab itulah penting bagi kita membaca Seerah Nabi saw. Bila kita tahu seerah, kita akan memahami jalan cerita setiap ayat al-Quran itu diturunkan.

Apa yang perlu kita buat sekarang?

Kena baca seerah dan memahaminya.
Masalahnya……….kebanyakkan buku seerah yang kita baca lebih berbentuk fakta(seerah fakta). Tidak berbentuk seerah hati. Yakni seerah yang boleh menyentuh hati seperti kita membaca novel. Bila kita baca novel, kita terasa seolah-olah kita berada di dalamnya dan dapat merasai situasi ketika itu.

Salah satu seerah berunsur cerita dan mengikut mulabasat al-Quran adalah Seerah Lengkap Nabi Muhammad saw, Al-Raheeq Al-Makhtum oleh syeikh Sofiyyur-Rahman al-Mubarakfuri. Ia adalah buku seerah yang terkenal di Mesir. Sekarang telah ada terjemahan dalam Bahasa Melayu.


SIAPA KITA???

Pertanyaan `siapa kita’ bermaksud supaya kita ingin mengenali diri kita. Setiap individu itu akan sentiasa berada dalam dunia dia sendiri. Susah baginya untuk berada dikalangan yang tidak sama fikiran dengannya.

Di zaman Jahiliyyah ada golongan bangsawan dengan bangsawan, Peniaga akan sentiasa selesa dengan peniaga, pengembala dengan pengembala, penyair akan sentiasa dengan penyair dan lain-lain.

Apabila al-Quran turun, Rasulullah saw menyampaikan wahyunya kepada kumpulan-kumpulan ini. Maka wujud satu lagi kumpulan iaitu kumpulan Islam yang bermarkas di rumah Arqam bin Abi Arqam. Walaupun di dalam kumpulan ini terdiri dari pelbagai profesion, ia telah disatukan dengan satu ikatan aqidah yang telah mengubah pemikiran mereka. Mereka merasakan mereka ada kerja yang khusus iaitu mengajak orang lain untuk menyertai kumpulan Islam. Namun begitu profesion lama mereka tetap kekal wujud.

Ini bermakna seorang doctor akan juga bercakap tentang Islam, begitu juga nelayan akan bercakap juga tentang Islam. Profesion lama mereka menjadi alat untuk memudahkan kerja-kerja dakwah mereka. Mereka faham kenapa Allah swt menjadikan manusia iaitu semata-mata sebagai khalifah di muka Bumi ini. Ini lah juga sebab mengapa al-Quran diturunkan. Ia diturunkan kepada pendakwah-pendakwahNya sebagai rujukan. Semua penyelesaian masalah yang dihadapi ada di dalam al-Quran. Contohnya, jika kita terlalu banyak menerima dugaan menyebabkan terfikir Allah swt telah membenci kita. Bukan begitu…..bacalah surah ad-Dhuha. Ia akan mententeramkan hati orang yang banyak masalah. Dalam surah ini menyatakan Allah swt tidak meninggalkan kita. Tidak membenci kita, jika kita menyambung perjuangan Rasulullah saw.
Ingatlah firman Allah dalam surah al-Baqarah:216
كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلۡقِتَالُ وَهُوَ كُرۡهٌ۬ لَّكُمۡ‌ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡ‌ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ شَرٌّ۬ لَّكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ (٢١٦)
“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (216)
Jadi, apa yang perlu kita buat sekarang?

Kita kena menyambung perjuangan Rasulullah saw menyampaikan apa yang ada di dalam al-Quran. Nanti kita akan merasai apa yang dirasai oleh Rasulullah saw dan para sahabatnya. Kita juga akan dapat merasai bagaimana berinteraksi dengan al-Quran.

No comments:

Post a Comment