Rasulullah s.a.w. itu adalah manusia yang amat toleran, amat berani,
amat adil dan amat bersopan-santun sekali. Tangannya tidak pernah sama
sekali menyentuh tangan wanita ajnabiah (asing) yang bukan miliknya
sebagai hamba sahaya atau yang mempunyai hubungan pernikahan dengannya
ataupun yang bukan mahramnya.
Baginda amat murah hati orangnya. Tidak pernah Baginda tidur selagi
ada dalam tangan Baginda sedinar ataupun sedirham. Bila ada kelebihan
wang dalam tangannya dan tiada pula sesiapa yang hendak diberikannya
sehingga malam tiba, maka Baginda tidak akan kembali ke rumahnya,
melainkan sesudah Baginda menemui orang yang berhajat untuk diberikan
wang yang lebih itu kepada orang tersebut.
Baginda tiada mengambil rezeki yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala
lebih dari keperluan makan-minum untuk setahun saja. Selebih dari
rezeki-rezeki itu Baginda letakkan untuk fisabilillah. Tidak pernah
dimintai sesuatu darinya, melainkan Baginda memberinya.
Apabila habis, Baginda akan mengambil pula dari simpanan makanan
keluarganya sendiri lalu memberikan kepada orang yang berhajat, sehingga
seringkali belum sempat selesai akhir tahun, makanan itu akan
kehabisan, lalu Baginda terpaksa meminjam pula dari orang lain untuk
mencukupi keperluannya sendiri.
Bagindalah sendiri yang menjahit kasutnya bila putus dan menampal
bajunya bila koyak. Baginda suka membantu ahli rumah dalam pekerjaan
rumahtangganya.
Baginda amat pemalu orangnya tidak pernah menatap wajah orang
lama-lama. Baginda menyahut undangan orang yang merdeka dan hamba
sahaya. Baginda menerima hadiah tidak kira pun apa pun, walaupun hanya
seteguk air susu, dan sering membalas hadiah itu dan memakannya. Tetapi
baginda tidak memakannya dari pemberian sedekah. Baginda tidak pernah
merasa dirinya rendah bila memenuhi keperluan hamba sahaya wanita
ataupun seorang miskin.
Baginda amat marah sekali jika hak Allah dicabul, tetapi tidak marah pula, jika haknya sendiri dilanggar.
Pada suatu kali, seorang sahabatnya terbunuh di kawasan perkampungan
Yahudi, Baginda tidak membalas dendam terhadap kaum Yahudi, tetapi
Baginda menghukum menurut yang hak; iaitu mendenda mereka membayar
fidyah sebanyak 100 ekor unta betina tidak lebih dari itu. Padahal para
sahabat ketika itu, sangat berhajat kepada tambahan sekalipun seekor
lagi untuk dijadikan makanan bagi menguatkan diri mereka.
Baginda sentiasa mengikat batu di perutnya untuk menahan lapar. Bila
makan tidak pernah cerewet, tetapi makan apa yang disediakan saja dan
tidak pernah menolak.
Kiranya makanan yang dihidangkan itu hanya buah tamar tanpa roti,
baginda makan juga. Kiranya yang dihidangkan itu daging panggang, makan
juga. Ataupun jika roti gandum atau roti syair, makan juga. Ataupun
manisan saja atau madu, makan juga. Ataupun susu semata-mata tanpa roti,
minum juga. Jika diberikan semangka ataupun kurma mengkal, makan juga.
Tidak pernah bersandar di waktu makan ataupun memasang meja untuk
meletakkan makanan. Tidak pernah kenyang dari roti gandum selama tiga
hari berturut-turut, sehingga wafat menemui Allah Ta’ala. Ini semuanya
dilakukan semata-mata kerana mementingkan diri orang lain dari diri
sendiri bukan kerana fakir atau kikir.
Adapun peribadi Rasulullah s.a.w. itu seorang yang amat tawadhu’
(merendah diri) amat pendiam bukan sombong, amat fasih dalam tutur kata
tanpa banyak bicara amat sempurna dan elok paras rupanya. Tidak pernah
menganggap penting sesuatu pun dari urusan keduniaan.
Cincinnya terbuat dari perak, yang dipakainya di jari kelingking
kanan dan kiri. Baginda mengenderai keledai dan membenarkan di belakang
keledai itu dibuncingi oleh hamba sahayanya ataupun orang lain.
Selalu melawat pesakit-pesakit meskipun rumahnya jauh dipinggir kota,
suka kepada yang baik, sering duduk bersama-sama fakir-miskin, memberi
makan kepada orang miskin. Baginda menghormati orang-orang yang
terutama, sentiasa memuliakan orang-orang yang dimuliakan dengan
berbakti kepada mereka.
Baginda Rasulullah s.a.w. sentiasa berhubung dengan kaum kerabatnya,
tidak pernah mengecewakan sesiapapun, selalu menerima alasan orang yang
memberikan keuzuran, suka bergurau-senda, tetapi tidak berkata melainkan
yang hak saja, tertawanya setakat senyum saja tanpa mengilai.
Baginda tidak pernah mengingkari permainan-permainan yang mubah
(harus) yang dibolehkan oleh agama, pernah berlumba lari dengan
isterinya. Ada kalanya setengah-setengah orang tidak bertimbang rasa
mengangkat suara di hadapan Baginda, tetapi Baginda tetap bersabar saja.
Tidak pernah makanan atau pakaian Baginda lebih baik dari makanan dan
pakaian hamba sahayanya. Tidak pernah berlalu suatu masa pun tanpa
membuat sesuatu pekerjaan yang diredhai Allah, ataupun pekerjaan lain
yang perlu untuk membetulkan diri sendiri.
Baginda selalu bersiar-siar di kebun-kebun sahabat-sahabatnya. Tidak
pernah menghina-hinakan orang miskin kerana kemiskinannya. Tidak gentar
kepada raja kerana kekuasaan atau kerajaannya. Baginda menyeru yang
rendah dan yang tinggi kepada Allah Ta’ala dengan seruan yang sama.
Allah Ta’ala telah melengkapkan peribadi Rasulullah s.a.w. dengan
kelakuan yang tinggi dan siasah yang sempurna, padahal Baginda itu
seorang yang ummi, tidak pandai membaca atau menulis. Baginda dibesarkan
di negeri yang masih dibelenggu oleh kejahilan dan dikelilingi oleh
padang pasir, hidup dalam keadaan miskin dan sebagai penggembala
kambing, seorang anak yatim tiada berayah dan tiada beribu. Tetapi Allah
Ta’ala telah mendidik baginda dengan sifat budi pekerti yang luhur dan
perjalanan yang terpuji.
Diceritakan kapada Baginda berita-berita orang yang terdahulu dan
yang akan datang untuk diambil pelajaran daripadanya. Dijadikan sempadan
bagi keselamatan dan kemenangan di Hari Akhirat serta tauladan bagi
kebahagiaan dan jalan keluar di dalam dunia.
No comments:
Post a Comment