Sepasang suami isteri hidup dalam keadaan tenteram, meskipun hidup
susah mereka taat kepada perintah Tuhan. Segala yang dilarang Allah
s.w.t. dihindari, dan ibadah mereka tekun sekali. Si Suami adalah
seorang yang alim yang taqwa dan tawakkal. Tetapi sudah beberapa lama
isterinya mengeluh terhadap kemiskinan yang tiada habis-habisnya itu. Ia
memaksa suaminya agar mencari jalan keluar. Ia membayangkan alangkah
senangnya hidup jika segala-galanya serba cukup.
Pada suatu hari, lelaki
yang alim itu berangkat ke ibu kota, mahu mencari pekerjaan. Di tengah
perjalanan is melihat sebatang pohon besar yang tengah dikerumuni orang.
Ia mendekat. Ternyata orang-orang itu sedang memuja-muja pohon yang
konon keramat dan sakti itu. Banyak juga kaum wanita dan
pedagang-pedagang yang meminta-minta agar suami mereka setia atau
dagangnya laris.
“Ini syirik,” fikir lelaki yang alim tadi. “Ini harus dibanteras
habis. Masyarakat tidak boleh dibiarkan menyembah serta meminta selain
Allah s.w.t..” Maka pulanglah dia terburu. Isterinya hairan, mengapa
secepat itu suaminya kembali. Lebih hairan lagi waktu dilihatnya si
suami mengambil sebilah kapak yang diasahnya tajam.
Lantas lelaki alim
tadi bergegas keluar. Isterinya bertanya tetapi ia tidak menjawab.
Segera dinaiki keldainya dan dipacu cepat-cepat ke pohon itu. Sebelum
sampai di tempat pohon itu berdiri, tiba-tiba melompat sesusuk tubuh
tinggi besar dan hitam. Dia adalah iblis laknatullah yang menyerupai
sebagai manusia.
“Hai, mahu ke mana kamu?” tanya si iblis laknatullah. Orang alim
tersebut menjawab, “Saya mahu menuju ke pohon yang disembah-sembah orang
bagaikan menyembah Allah s.w.t.. Saya sudah berjanji kepada Allah
s.w.t. akan menebang roboh pohon syirik itu.” “Kamu tidak ada apa-apa
hubungan dengan pohon itu. Yang penting kamu tidak ikut-ikutan syirik
seperti mereka. Sudah pulang sahaja.” “Tidak boleh, kemungkaran mesti
dibanteras,” jawab si alim bersikap tegas.
“Berhenti, jangan teruskan!” bentak iblis laknatullah marah. “Akan saya teruskan!”
Kerana masing-masing tegas pada pendirian, akhirnya terjadilah
perkelahian antara orang alim tadi dengan iblis laknatullah. Kalau
melihat perbezaan badannya, seharusnya orang alim itu dengan mudah boleh
dibinasakan. Namun ternyata iblis laknatullah menyerah kalah,
meminta-minta ampun. Kemudian dengan berdiri menahan kesakita dia
berkata, “Tuan, maafkanlah kekasaran saya. Saya tak akan berani lagi
mengganggu tuan. Sekarang pulanglah. Saya berjanji, setiap pagi, apabila
Tuan selesai menunaikan sembahyang Subuh, di bawah tikar sembahyang
Tuan saya sediakan wang emas empat dinar. Pulang saja berburu, jangan
teruskan niat Tuan itu dulu,”
Mendengar janji iblis laknatullah dengan wang emas empat dinar itu,
lunturlah kekerasan tekad si alim tadi. Ia teringatkan isterinya yang
hidup tidak berkecukupan. Ia teringat akan saban hari rungutan
isterinya. Setiap pagi empat dinar, dalam sebulan sahaja dia sudah boleh
menjadi orang kaya. Mengingatkan desakan-desakan isterinya itu maka
pulanglah dia. Patah niatnya semula hendak membanteras kemungkaran.
Demikianlah, semejak pagi itu isterinya tidak pernah marah lagi. Hari
pertama, ketika si alim selesai sembahyang, dibukanya tikar
sembahyangnya. Betul di situ tergolek empat benda berkilat, empat dinar
wang emas. Dia meloncat riang, isterinya gembira. Begitu juga hari yang
kedua. Empat dinar emas. Ketika pada hari yang ketiga, matahari mulai
terbit dan dia membuka tikar sembahyang, masih didapatinya wang itu.
Tapi pada hari keempat dia mulai kecewa. Di bawah tikar sembahyangnya
tidak ada apa-apa lagi keculai tikar pandan yang rapuh. Isterinya mulai
marah kerana wang yang kelmarin sudah dihabiskan sama sekali.
Si alim dengan lesu menjawab, “Jangan khuatir, esok barangkali kita
bakal dapat lapan dinar sekaligus.” Keesokkan harinya, harap-harap cemas
suami-isteri itu bangun pagi-pagi. Selesai sembahyang dibuka tikar
sejadahnya kosong. “Kurang ajar. Penipu,” teriak si isteri. “Ambil
kapak, tebanglah pohon itu.” “Ya, memang dia telah menipuku. Akan aku
habiskan pohon itu semuanya hingga ke ranting dan daun-daunnya,” sahut
si alim itu.
Maka segera ia mengeluarkan keldainya. Sambil membawa kapak
yang tajam dia memacu keldainya menuju ke arah pohon yang syirik itu.
Di tengah jalan iblis laknatullah yang berbadan tinggi besar tersebut
sudah menghalang. Katanya menyorot tajam, “Mahu ke mana kamu?” herdiknya
menggegar.
“Mahu menebang pohon,” jawab si alim dengan gagah berani. “Berhenti,
jangan lanjutkan.” larang si iblis laknatullah “Bagaimanapun juga tidak
boleh, sebelum pohon itu tumbang.” jawab lelaki itu.
Maka terjadilah kembali perkelahian yang hebat. Tetapi kali ini bukan
iblis laknatullah yang kalah, tapi si alim yang terkulai. Dalam
kesakitan, si alim tadi bertanya penuh hairan, “Dengan kekuatan apa
engkau dapat mengalahkan saya, padahal dulu engkau tidak berdaya sama
sekali?” Iblis laknatullah itu dengan angkuh menjawab, “Tentu sahaja
engkau dahulu boleh menang, kerana waktu itu engkau keluar rumah untuk
Allah, demi Allah. Andaikata kukumpulkan seluruh belantaraku menyerangmu
sekalipun, aku takkan mampu mengalahkanmu. Sekarang kamu keluar dari
rumah hanya kerana tidak ada wang di bawah tikar sejadahmu. Maka biarpun
kau keluarkan seluruh kebolehanmu, tidak mungkin kamu mampun
menjatuhkan aku. Pulang saja. Kalau tidak, kupatahkan nanti batang
lehermu.”
Mendengar penjelasan iblis laknatullah ini si alim tadi
termangu-mangu. Ia merasa bersalah, dan niatnya memang sudah tidak
ikhlas kerana Allah s.w.t. lagi. Dengan terhuyung-hayang ia pulang ke
rumahnya. Dibatalkan niat semula untuk menebang pohon itu. Ia sedar
bahawa perjuangannya yang sekarang adalah tanpa keikhlasan kerana Allah
s.w.t., dan ia sedar perjuangan yang semacam itu tidak akan menghasilkan
apa-apa selain dari kesiaan yang berlanjutan. Sebab tujuannya adalah
kerana harta benda, mengatasi keutamaan Allah s.w.t. dan agama. Bukankah
bererti ia menyalahgunakan agama untuk kepentingan hawa nafsu
semata-mata ?
“Barangsiapa di antaramu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah
(berusaha) memperbaikinya dengan tangannya (kekuasaan), bila tidak
mungkin hendaklah berusaha memperbaikinya dengan lidahnya (nasihat),
bila tidak mungkin pula, hendaklah mengingkari dengan hatinya
(tinggalkan). Itulah selemah-lemah iman.”
(Hadith Riwayat Muslim)
(Hadith Riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment