Nabi Muhammad adalah Rasul yang diutuskan Allah untuk membetulkan akhlak manusia, sebagai Umat Rasulullah kita wajiblah mencontohi cara hidup (Sunnah) Nabi Muhammad s.a.w,
akhlak yang terpuji tiada bandingannya, sesungguhnya nabi Muhammad
S.A.W telah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak kepada umatnya.
sebagaimana sabda Rasulullah:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.
Antara Akhlak Nabi Muhammad s.a.w yang hendaklah dicontohi
1- Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah
menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah
susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.
2- Setiap kali pulang
ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk
dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk
membantu isterinya di dapur. Sayidatina ‘Aisyah menceritakan “Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga.
3- Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.”
4- Pernah baginda
pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi
dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak
ada kerana Sayidatina ‘Aisyah belum ke pasar.
Maka Nabi bertanya, “Belum ada sarapan ya Khumaira?” (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina ‘Aisyah yang bererti ‘Wahai yang kemerah-merahan’).
Aisyah menjawab dengan agak serba salah, “Belum ada apa-apa wahai
Rasulullah.” Rasulullah lantas berkata, “Jika begitu aku puasa saja hari
ini.” tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.
5- Sebaliknya baginda
sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah
menegur, “Mengapa engkau memukul isterimu?”
Lantas soalan itu dijawab dengan agak
gementar, “Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap
degil, jadi aku pukul dia.” ”Aku tidak bertanya alasanmu,” sahut Nabi
s.a.w. “Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu
kepada anak-anakmu?”
6- Pernah baginda
bersabda, “sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut
terhadap isterinya.” Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam
menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan
kedudukannya sebagai pemimpin umat.
7- Pada suatu ketika
baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan
baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali.
Dan mereka mendengar bunyi menggerutup
seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser
antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang,
“Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah
tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya
Rasulullah?” ”Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar.”
“Ya Rasulullah…mengapa setiap kali tuan
menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh
tuan? Kami yakin engkau sedang sakit…” desak Umar penuh cemas.
Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya.
Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan
dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar.
Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali
bergeraknya tubuh baginda.
“Ya Rasulullah! Adakah bila tuan
menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya
buat tuan?” Lalu baginda menjawab dengan lembut, “Tidak para sahabatku.
Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan
demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti,
apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?”
“Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah
ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini
lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.”
8- Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor.
9- Hanya diam dan
bersabar bila kain rida’nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab
Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan
baginda membasuh tempat yang di kencing si Badwi di dalam masjid
sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.
10- Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH s.w.t. dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah s.a.w. menolak sama sekali rasa ke tuanan.
11- Seolah-olah
anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya
merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam
keseorangan.
12- Pintu Syurga telah
terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di
waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah
baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.
13- Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina ‘Aisyah, “Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?”
Jawab baginda dengan lunak, “Ya ‘Aisyah,
bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi
hamba-Nya yang bersyukur.”
Subhanallah amat terpuji akhlakmu ya Rasulullah….
Kasih dan sayang kita kepada Nabi Muhammad s.a.w.
bukan sahaja ditunjukkan dengan menyambut hari kebesaran Baginda
sahaja, tetapi lebih dari itu. Menyebut dengan lidah yang kita
menyayangi Baginda tanpa mengikut setiap ajaran dan perbuatan Baginda
tidaklah cukup, lantaran sikap dan peribadi mulia Baginda inilah yang
disanjung tinggi dan mampu mengubah dan memandu manusia kearah jalan
yang benar, kearah mendapat kebahagian di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment